
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diarahkan mendapatkan penjelasan daripada syarikat telekomunikasi (telco) yang didakwa mengenakan caj RM10 kepada pengguna bagi perkhidmatan perlindungan anti-penipuan atau scam.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia bagi mendapatkan gambaran dan meneliti sama ada caj yang dikenakan adalah wajar.
"Saya belum meneliti laporan terbabit tetapi saya akan minta supaya MCMC mengenal pasti syarikat perkhidmatan telekomunikasi berkenaan.
“Ini untuk mendapatkan penjelasan dan meneliti aspek ini, sama ada wajar ataupun tidak, kita nak tahu dulu apa yang dimaksudkan (dengan perkhidmatan serta caj yang dikenakan),” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet hari ini.
Sebelum ini media melaporkan beberapa pihak menyelar tindakan telco yang didakwa mengenakan caj RM10 sebulan untuk perkhidmatan perlindungan scam atau penipuan.
Antaranya persatuan pengguna dan pakar komputer yang berpendapat keselamatan pelanggan sepatutnya menjadi tanggungjawab asas penyedia perkhidmatan, bukannya dimanipulasi sebagai sumber keuntungan baharu.
Malah pemerhati pasaran turut menyifatkan idea untuk menjadikan keselamatan digital asas sebagai produk premium bertentangan dengan tanggungjawab sosial syarikat telekomunikasi, yang mendapat manfaat daripada kepercayaan awam dan integriti rangkaian mereka.
“Perlindungan anti-penipuan asas seharusnya menjadi ciri standard, bukan kos tambahan kepada pengguna,” kata seorang pemerhati. - 14 November, 2025
The post MCMC siasat dakwaan telco caj RM10 untuk perlindungan anti-penipuan appeared first on Scoop.

