
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka siasatan terhadap tiga individu yang disyaki menyebarkan dakwaan palsu berhubung kenaikan tarif elektrik di media sosial, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap penularan maklumat tidak sahih dalam talian.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, individu berkenaan dipercayai menyebarkan kandungan mengelirukan menerusi beberapa platform termasuk Facebook, Threads dan WhatsApp.
Menurutnya, bahan berkenaan didakwa menggunakan elemen grafik menyerupai laporan organisasi berita bagi meningkatkan kredibiliti kandungan tersebut.
“Berdasarkan aduan yang diterima, dakwaan mengenai kenaikan tarif elektrik itu adalah tidak benar dan berpotensi mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat, selain mencetuskan kebimbangan serta panik,” menurut kenyataan itu.
Semakan awal turut mendapati kandungan berkenaan telah diubah suai daripada bahan rasmi yang asalnya diterbitkan oleh Astro AWANI.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
MCMC menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital untuk mengelirukan orang ramai dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang sedia ada.
Pada masa sama, orang ramai digesa agar lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial serta tidak memuat naik atau berkongsi kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian sosial dan ketenteraman awam. - Getaran, 1 April 2026


