MCMC siasat kandungan AI manipulasi rakaman detik duka Tun M

LocalTechnology
2 Oct 2026 • 1:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MCMC siasat kandungan AI manipulasi rakaman detik duka Tun M
Kenyataan media yang dikeluarkan MCMC pada Jumaat.

CYBERJAYA – [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti penyebaran kandungan di media sosial yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memanipulasi rakaman detik duka bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad susulan pemergian isterinya, Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohd Ali.

Menerusi kenyataan pada Jumaat, MCMC memaklumkan pihaknya memandang serius penyalahgunaan teknologi AI bagi memanipulasi rakaman sebenar kerana ia berpotensi mengelirukan orang ramai, mengubah konteks kejadian serta menjejaskan maruah individu dan keluarga.

Menurut MCMC, perkara itu lebih membimbangkan apabila kandungan berkenaan melibatkan situasi kehilangan dan kesedihan seseorang.

“AI yang digunakan untuk memanipulasi rakaman sebenar boleh mengelirukan orang ramai, mengubah konteks serta menjejaskan maruah individu dan keluarga, lebih-lebih lagi dalam suasana kehilangan dan kesedihan,” katanya.

MCMC memaklumkan pihaknya sudah menghubungi platform media sosial berkaitan dan sedang meneliti kandungan berkenaan dan sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang, tindakan boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang berkaitan termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Dalam pada itu, MCMC mengingatkan orang ramai supaya tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan kandungan yang telah dimanipulasi menggunakan AI sehingga boleh mengelirukan atau menjejaskan pihak lain.

Orang ramai turut dinasihatkan menyemak kesahihan sesuatu kandungan sebelum berkongsi serta membuat laporan sekiranya mengesyaki kandungan berkenaan telah dimanipulasi.

“MCMC mengingatkan bahawa teknologi AI mempunyai manfaat yang besar, namun penggunaannya perlu disertai tanggungjawab agar teknologi tidak digunakan untuk memutarbelitkan kebenaran atau mengeksploitasi kesedihan seseorang sehingga mengorbankan maruah dan nilai kemanusiaan," menurut kenyataan itu.

Allahyarhamah Tun Dr Hasmah meninggal dunia pada jam 9.20 pagi, Isnin lalu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada usia 100 tahun dan dikebumikan di Pusara Negara, Putrajaya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved