
PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap kandungan di Facebook yang disyaki mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi diraja Negeri Sembilan.
Menurut MCMC, kandungan yang dimuat naik menerusi akaun Facebook ‘Che GuBard’ itu menyentuh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir serta kerabat diraja negeri berkenaan.
Katanya, individu yang dipercayai mengendalikan akaun tersebut telah hadir ke Balai Polis Cyberjaya hari ini bagi membantu siasatan.
“Rakaman percakapan telah dijalankan bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Seunit telefon bimbit berserta satu kad SIM turut disita bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MCMC berkata, pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform dalam talian yang boleh mencetuskan kebencian, penghinaan atau rasa tidak hormat terhadap institusi diraja.
Katanya, kebebasan bersuara perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan selaras dengan undang-undang negara.
“Sebarang tindakan lanjut akan dilaksanakan berdasarkan hasil siasatan dan proses perundangan yang berkuat kuasa,” katanya. – UTUSAN
The post MCMC siasat kandungan Facebook disyaki hina institusi diraja Negeri Sembilan appeared first on Utusan Malaysia.






