MCW gesa SPRM siasat semula dakwaan tindakan balas terhadap pemberi maklumat rasuah

LocalPolitics
1 Nov 2026 • 3:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MCW gesa SPRM siasat semula dakwaan tindakan balas terhadap pemberi maklumat rasuah
Jais

SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyemak semula dakwaan tindakan tatatertib terhadap seorang penjawat awam, Norhisham Manap yang dikatakan mempunyai kaitan dengan laporan rasuah yang pernah dibuat kepada agensi itu.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, pihaknya memandang serius aduan itu kerana timbul dakwaan bahawa kes tatatertib yang sebelum ini diselesaikan di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dibangkitkan semula selepas Norhisham membuat laporan berkaitan rasuah.

Menurutnya, lebih membimbangkan, apabila seorang pengarah kanan SPRM sendiri telah menerangkan kepada beliau bahawa sebarang kekhilafan atau kesilapan SPRM dalam pengendalian kes terdahulu perlu disiasat dan diperbetulkan demi menegakkan keadilan.

"Pandangan tersebut, sekiranya disahkan, memperkukuh keperluan supaya SPRM menjalankan semakan secara telus, bebas dan menyeluruh terhadap pengendalian kes berkenaan.

"Oleh itu, kepimpinan SPRM perlu menyemak semula keseluruhan pengendalian kes Norhisham termasuk kemungkinan berlakunya tindakan balas terhadap pemberi maklumat.

"Selain itu, SPRM harus menjelaskan status perlindungan beliau di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711), termasuk sebab perlindungan tidak diberikan atau sebarang keputusan pembatalannya, jika berkenaan," ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah Jais, sebarang keputusan terdahulu oleh KPT, arahan pentadbiran berkaitan dan alasan pembukaan semula kes tatatertib hendaklah diperiksa secara objektif.

Jelas beliau, seterusnya SPRM perlu menyiasat kemungkinan berlakunya kecuaian, kekhilafan prosedur atau penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana pegawai yang terlibat dalam pengendalian kes tersebut, tanpa mengira kedudukan mereka.

"MCW menegaskan bahawa tindakan tatatertib yang sah tidak boleh dihalang semata-mata kerana seseorang telah membuat laporan rasuah. Namun, tindakan tatatertib juga tidak boleh dijadikan instrumen tekanan atau pembalasan terhadap pemberi maklumat.

"SPRM mesti mempunyai keberanian institusi untuk mengakui dan membetulkan sebarang kesilapan yang terbukti. Integriti bukan bermaksud sesebuah institusi tidak pernah melakukan kesilapan, tetapi kesediaannya untuk membetulkan kesilapan secara terbuka dan bertanggungjawab.

"MCW berharap kepimpinan SPRM memberikan perhatian sewajarnya terhadap perkara ini demi memelihara keyakinan masyarakat terhadap sistem perlindungan pemberi maklumat negara," ulasnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved