PU Riz tuntut RM1 juta, pemfitnah ada 48 jam untuk mohon maaf

30 Oct 2026 • 12:04 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: PU Riz tuntut RM1 juta, pemfitnah ada 48 jam untuk mohon maaf

KUALA LUMPUR – Tiada kompromi, pendakwah bebas Haris Ismail atau PU Riz nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun media sosial, Nurazian Abdul Talib susulan dakwaan fitnah mengatakan dirinya dilabel sebagai penunggang agama.

Peguam mewakili Riz, Faizal Rahman berkata, label berkenaan bukan tuduhan ringan kerana boleh menjejaskan reputasi anak guamnya, terutama apabila dilemparkan terhadap individu berlatarbelakangkan pendidikan agama serta memiliki tauliah mengajar agama.

“Istilah penunggang agama adalah label sangat berat. Jika disebut dalam konteks filem, mungkin tiada isu. Namun, apabila dilontarkan kepada individu berpendidikan agama dan memiliki tauliah daripada pejabat mufti, perkara itu merupakan satu fitnah amat nyata.

“Sehingga kini, hantaran berkenaan mencatatkan 9.2 juta tontonan dalam tempoh sangat singkat.

“Perkara ini perlu dihentikan segera bagi mengelakkan reputasi anak guam saya terus terjejas,” katanya kepada Kosmo! Online.

Paling penting kata Faizal, pihaknya sudah menyerahkan Notis Tuntutan (LOD) kepada individu terbabit semalam dengan memberikan tempoh 48 jam untuk memadam hantaran berkenaan serta mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.

“Kami sudah menyerahkan notis tuntutan semalam dan memberikan tempoh 48 jam untuk individu berkenaan memohon maaf. Mungkin ada pihak menganggap tempoh itu terlalu singkat, tetapi jumlah tontonan hantaran berkenaan meningkat dengan mendadak sehingga mencecah 9.2 juta.

“Sehingga kini, kami masih belum menerima sebarang maklum balas. Sekiranya tuntutan itu gagal dipenuhi, kami akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap individu terbabit di mahkamah,” ujarnya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Faizal mendakwa individu berkenaan mengambil kesempatan terhadap algoritma media sosial dengan mengaitkan nama PU Riz bagi meraih perhatian pengguna.

“Perkara ini menimbulkan persoalan apabila sebelum ini hantaran individu berkenaan hanya memperoleh sekitar dua hingga lima tanda suka. Namun, apabila nama PU Riz dipetik, jumlah tontonan melonjak sehingga jutaan.

“Malah, individu itu turut mengaitkan anak guam saya dengan isu pihak lain yang langsung tidak mempunyai kaitan serta menyebarkan maklumat tidak benar kononnya acara di Johor baru-baru ini merupakan majlis agama berbayar, sedangkan program itu hanyalah sesi ramah mesra,” jelasnya.

Dalam sidang media sama, Faizal turut memaparkan empat keping gambar dimuat naik menerusi hantaran individu berkenaan, mendakwa bahan tersebut digunakan dalam kandungan berunsur fitnah terhadap PU Riz.

Sementara itu, PU Riz turut hadir pada sidang media berkenaan bagi memperlihatkan dokumen asal kelayakan pendidikannya, termasuk ijazah dalam pengajian agama daripada Open University Malaysia (OUM).

Beliau turut menunjukkan sijil pentauliahan mengajar agama diperoleh dari Wilayah Persekutuan, Perlis, Kelantan dan Sarawak bagi menjelaskan latar belakang serta kelayakannya dalam bidang berkenaan.

Terdahulu, pembatalan sebuah acara anjuran Nunha di Johor mencetuskan kekecohan di media sosial apabila timbul dakwaan dan salah faham bahawa sesi ramah mesra berkenaan merupakan program agama.

Susulan kontroversi itu, PU Riz menjadi sasaran kecaman netizen apabila didakwa tidak mempunyai kelayakan untuk mengajar agama, sekali gus dilabel sebagai penunggang agama. – KOSMO! ONLINE

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

The post PU Riz tuntut RM1 juta, pemfitnah ada 48 jam untuk mohon maaf appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved