Media Selangor Masuk Kampung Edisi 2.0 dekati komuniti Hulu Selangor

31 Oct 2026 • 10:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Media Selangor Masuk Kampung Edisi 2.0 dekati komuniti Hulu Selangor

HULU SELANGOR, 31 OKT: Sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk komuniti Hulu Selangor pada Program Media Selangor Masuk Kampung Edisi 2.0 meningkat kepada RM150,000 berbanding penganjuran sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree berkata berbanding penganjuran sulung di Kampung Batu Laut di Kuala Langat tahun lalu, Media Selangor menghulurkan sumbangan bernilai RM90,000.

“Ini merupakan program CSR Media Selangor bersama rakan strategik bagi mendekati komuniti di seluruh sembilan daerah di negeri Selangor,” katanya ketika berucap pada program berkenaan di Masjid Al-Falah, Kampung Kalong Tengah, di sini, hari ini.

Antara rakan strategik terlibat adalah Selgate, Air Selangor, World Wide Holdings, KDEB Waste Management, Kumpulan Hartanah Selangor Berhad, Kumpulan Perangsang Selangor, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia serta Management and Science University (MSU).

Edisi pertama program itu melibatkan komuniti Orang Asli sebelum diteruskan di Hulu Selangor pada tahun ini.

Image from: Media Selangor Masuk Kampung Edisi 2.0 dekati komuniti Hulu Selangor
Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree berucap ketika Program Media Selangor Masuk Kampung Edisi 2.0 di Kampung Kalong Tengah, Hulu Yam pada 31 Oktober 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Antara pengisian program ialah pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan mata, gotong-royong, rewang, 'Meet & Greet Bersama Pemain Selangor FC, Jualan Ehsan Rahmah dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan untuk penduduk setempat.

Mohamed Fareed turut menyatakan sokongan terhadap kesinambungan aktiviti pencak silat sebagai warisan Melayu yang membantu memupuk kecergasan serta membentuk sahsiah kanak-kanak sejak kecil.

Sementara itu, EXCO Perumahan dan Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah mencadangkan Program Media Selangor Masuk Kampung diadakan dua kali setahun bagi mempercepat peluasan pelaksanaannya ke sembilan daerah di Selangor.

"Saya juga menyambut baik rancangan Media Selangor memperluaskan projek ini berperingkat ke semua sembilan daerah negeri Selangor.

"Jadi kalau setahun sekali, jadi sembilan tahun. Kalau boleh buat setahun dua kali akan jadi empat tahun sahaja," katanya.

Borhan berkata kejayaan program CSR tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah sumbangan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira manfaat serta perubahan yang dirasai masyarakat.

Seramai 115 sukarelawan daripada Media Selangor dan pelbagai organisasi terlibat menjayakan program berkenaan.

Beliau turut menyatakan hasrat mengetengahkan Kuih Tat Bengkulu, yang dikaitkan dengan identiti Hulu Selangor, supaya diiktiraf dan diwartakan sebagai makanan warisan negeri.

Image from: Media Selangor Masuk Kampung Edisi 2.0 dekati komuniti Hulu Selangor
EXCO Perumahan dan Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah (tiga, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree (tiga, kiri) ketika Program Media Selangor Masuk Kampung Edisi 2.0 di Kampung Kalong Tengah, Hulu Yam pada 31 Oktober 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved