Median upah bulanan 6.6 juta pekerja formal Malaysia catat peningkatan 4.9% kepada RM2,600 pada Jun 2023 - DOSM
zulfadli
30/11/2023 - 15:06
KUALA LUMPUR 30 Nov - Median upah bulanan pekerja formal warganegara meningkat sebanyak 4.9% pada Jun 2023 kepada RM2,600 berbanding Jun 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah pekerja formal Malaysia pada Jun 2023 adalah sebanyak 6.6 juta orang meningkat sebanyak 1.6 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
Katanya, bilangan itu menyumbang hampir dua pertiga (64.3%) daripada jumlah keseluruhan bilangan pekerja bergaji warganegara yang bekerja dalam sektor formal.
"Pada masa yang sama, median upah bulanan pada Jun 2023 meningkat sebanyak 4.9% tahun ke tahun kepada RM2,600," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Melihat kepada perbandingan mengikut jantina, pekerja formal lelaki menyumbang 55.5% (3.66 juta orang) daripada jumlah pekerja formal keseluruhan pada Jun 2023, menerima median upah bulanan yang lebih tinggi daripada perempuan.
Median upah bulanan bagi pekerja formal lelaki adalah RM2,645 manakala pekerja formal perempuan yang menyumbang 44.5% (2.94 juta orang) daripada jumlah pekerja formal keseluruhan memperoleh median upah bulanan sebanyak RM2,527.
Kumpulan umur yang mencatatkan median upah bulanan tertinggi pada Jun 2023 adalah 45 hingga 49 tahun yang menerima RM3,500. Kumpulan umur ini juga menerima median upah bulanan tertinggi pada April 2023 (RM3,582) dan Mei 2023 (RM3,482).

Perbandingan median upah bulanan pada Jun 2023 dengan bulan yang sama pada tahun sebelumnya, semua kumpulan umur mengalami peningkatan median upah bulanan kecuali bagi mereka yang berumur di bawah 20 tahun.
Kumpulan umur 60 hingga 64 tahun menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun tertinggi pada Jun 2023 meningkat sebanyak 11.7% kepada RM2,764. Terdahulu, pada April 2023, kumpulan umur di bawah 20 tahun menikmati pertumbuhan tahun ke tahun tertinggi (25%), yang tertinggi untuk empat bulan berturut-turut sejak Januari 2023.
Bagaimanapun, median upah bulanan bagi kumpulan umur di bawah 20 tahun perlahan pada Mei 2023 (pertumbuhan tahun ke tahun: 5.5%) dan kekal tidak berubah pada Jun 2023 (pertumbuhan tahun ke tahun: 0%) disebabkan kesan pelaksanaan dasar gaji minimum baharu sebanyak RM1,500 pada 2022 yang telah mereda.
Sektor perlombongan dan pengkuarian terutamanya mencatatkan pertumbuhan dua digit tahun ke tahun dalam median upah bulanan pada Jun 2023 kepada RM5,200, walaupun hanya mewakili 0.5% daripada jumlah pekerja formal keseluruhan.
Semua sektor mencatatkan peningkatan tahun ke tahun bagi median upah bulanan pada Jun 2023 kecuali bagi sektor pertanian mencatatkan penurunan sebanyak 0.9% kepada RM1,927.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata, semua negeri menunjukkan pertumbuhan positif tahun ke tahun daripada segi median upah bulanan.
Beliau berkata, tiga negeri merekodkan median upah bulanan yang lebih tinggi berbanding median upah nasional RM2,600 iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan median upah bulanan tertinggi sebanyak RM3,822, diikuti Selangor sebanyak RM2,945 dan Pulau Pinang sebanyak RM2,645.
"Bagaimanapun, Kelantan, Perlis dan Sabah mencatatkan median upah bulanan terendah masing-masing sebanyak RM1,600, RM1,600 dan RM1,800," katanya.
Ujar beliau, taburan upah menunjukkan bahawa 34.7% pekerja formal di Malaysia menerima upah di bawah RM2,000, mencatatkan penurunan sebanyak 3.6 mata peratus daripada 38.3 peratus yang direkodkan pada Jun 2022.
Pada masa yang sama katanya, kira-kira 7.9% pekerja formal warganegara memperoleh upah melebihi RM10,000.
Sementara itu, analisis persentil menunjukkan bahawa median upah bulanan kumpulan penerima upah tertinggi (persentil ke-90) sekurang-kurangnya lima kali lebih tinggi daripada median upah bulanan kumpulan penerima upah terendah (persentil ke-10) dansekurang-kurangnya tiga kali lebih tinggi daripada median upah bulanan kumpulan upah pertengahan (persentil ke-50).
Tambahan pula, kategori pekerja dengan upah terendah mendapat peningkatan yang paling signifikan sebanyak 17% dari tahun ke tahun pada Jun 2023. Ia menunjukkan bahawa median upah bulanan bagi kumpulan itu meningkat secara ketara dari RM1,282 pada Jun 2022 kepada RM1,500 pada Jun 2023.
Menurut Mohd Uzir, statistik itu dikeluarkan untuk meningkatkan penyebaran statistik upah pekerja dengan memanfaatkan data pentadbiran dan menyumbang kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang pasaran buruh yang dinamik di Malaysia.
"Selain itu, melalui pengintegrasian dengan data pentadbiran lain, DOSM akan menerbitkan statistik upah pekerja mengikut pelbagai dimensi seperti integrasi data sektor swasta dan awam, mengikut status syarikat seperti Syarikat Multi-Nasional (MNC) dan Pelaburan Langsung Asing (FDI), jenis pemilikan pertubuhan syarikat, orientasi perniagaan (berorientasikan eksport atau permintaan domestik), skala ekonomi perniagaan danlain-lain," katanya. - DagangNews.com

