Pendapatan e-dagang Malaysia catat peningkatan 5.4% kepada RM289.5 bilion pada suku ketiga 2023 - DOSM

LocalBusiness & Finance
29 Nov 2023 • 2:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan e-dagang Malaysia catat peningkatan 5.4% kepada RM289.5 bilion pada suku ketiga 2023 - DOSM

zulfadli

29/11/2023 - 14:40

KUALA LUMPUR 29 Nov - Pendapatan e-dagang Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 5.4% tahun ke tahun kepada RM289.5 bilion pada suku ketiga 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, bagi pertumbuhan suku tahunan, pendapatan e-dagang mengekalkan trend positif dengan peningkatan 3.2%.

Pada 13 Oktober lepas, DOSM mengeluarkan penerbitan Akaun Satelit Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ASTMK) 2022.

ICT dan e-dagang menjana nilai ditambah RM412.3 bilion pada tahun 2022 (2021: RM359.3 bilion) dengan pertumbuhan 14.8% (2021: 12.2%).

Sumbangan ICT dan e-dagang kepada ekonomi negara mencapai 23% berbanding 23.2% pada 2021. Prestasi itu disumbangkan Nilai Ditambah Kasar Industri TMK (NDKTMK), 13.6%, manakala e-dagang industri lain, 9.4%.

Bagi pecahan pendapatan e-dagang mengikut segmen pasaran pada 2021, hasil yang dijana daripada pasaran domestik mengatasi pasaran antarabangsa berjumlah RM932.7 bilion dan merangkumi 89.9% sumbangan.

Sebaliknya, sumbangan kepada pasaran antarabangsa berjumlah RM104.5 bilion, menyumbang 10.1%.

image is not available

Sementara itu, pendapatan e-dagang mengikut jenis pelanggan melalui perniagaan ke perniagaan (B2B) mencatatkan pendapatan tertinggi berjumlah RM713.1 bilion dengan sumbangan 68.8%, diikuti perniagaan kepada pengguna (B2C) RM308.9 bilion (29.8%) dan perniagaan kepada kerajaan (B2G), RM15.2 bilion (1.5%).

Mohd Uzir berkata, perkhidmatan ICT terdiri daripada aktiviti penerbitan, perkhidmatan wayang gambar, video dan program televisyen, rakaman bunyi dan penerbitan muzik, pemprograman dan penyiaran, perkhidmatan telekomunikasi, pengaturcaraan komputer, perundingan dan aktiviti yang berkaitan serta perkhidmatan maklumat.

Katanya, ia mencatatkan nilai pengeluaran kasar RM182.2 bilion pada 2021, mencatatkan pertumbuhan 5.4% berbanding 2020.

"Selaras dengan pertumbuhan nilai output kasar, nilai input perantaraan turut meningkat sebanyak RM4.6 bilion untuk mencatatkan RM87.4 billion, seterusnya menghasilkan nilai ditambah RM94.8 bilion pada 2021," katanya.


Di samping itu, sebanyak 93.8% pertubuhan menggunakan komputer dan 90.6% pertubuhan mengakses internet pada 2021. Wilayah Persekutuan Putrajaya kekal merekodkan kadar penggunaan komputer dan internet daripada pertubuhan tertinggi, kedua-duanya mencatatkan 100%.

Pada 2022, peratusan penggunaan komputer individu adalah 80.2% dan akses kepada internet adalah 97.4%. Putrajaya mencatatkan peratusan tertinggi penggunaan komputer dan akses kepada internet daripada individu, masing-masing 97% dan 99.9%. - DagangNews.com