Median upah Selangor kedua tertinggi di negara ini

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 2:03 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Median upah Selangor kedua tertinggi di negara ini

PUTRAJAYA, 27 OKT: Median upah bulanan pekerja sektor formal meningkat 4.8 peratus kepada RM3,000 pada Jun lalu namun jurang pendapatan yang ketara masih wujud antara golongan berpendapatan tertinggi dengan yang terendah, menurut Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Kedua 2026.

Laporan yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu menyatakan bahawa analisis persentil menunjukkan 10 peratus pekerja formal terendah menerima RM1,700 atau kurang sebulan, manakala 10 peratus pekerja formal tertinggi mendapat upah bulanan sekurang-kurangnya RM9,600 sebulan.

“Oleh itu, pekerja pada persentil ke-90 menerima upah lima kali ganda berbanding kumpulan upah terendah, menggambarkan jurang upah antara golongan yang berpendapatan tinggi dengan terendah,” menurut DOSM dalam kenyataan, hari ini.

Jabatan itu memaklumkan bilangan pekerja formal warganegara meningkat kepada 7.20 orang, mencatat pertumbuhan 3.3 peratus tahun ke tahun daripada 6.97 juta orang pada Jun 2025.

Walaupun terdapat peningkatan keseluruhan, DOSM melaporkan bahawa perbezaan upah masih ketara merentasi negeri, sektor ekonomi dan kumpulan umur pada suku tahun kedua 2026.

Menurut DOSM, Kuala Lumpur merekodkan median upah bulanan tertinggi pada Jun tahun ini berjumlah RM4,245, diikuti Selangor (RM3,245) dan Pulau Pinang (RM3,000), namun median upah bulanan terendah dicatatkan di Kelantan (RM1,827), Perlis (RM1,864) dan Sabah (RM2,045).

Berdasarkan aktiviti ekonomi, sektor perlombongan dan pengkuarian yang hanya merangkumi 0.5 peratus daripada jumlah pekerja formal, mencatat median upah bulanan tertinggi sebanyak RM6,722 pada Jun lepas, sebaliknya sektor pertanian yang menyumbang 1.8 peratus daripada jumlah pekerja formal melaporkan median upah terendah, iaitu RM2,282 sebulan dalam tempoh sama.

Pekerja formal berumur 45 hingga 49 tahun pula terus mencatat median upah bulanan tertinggi sepanjang suku tahun kedua 2026, iaitu RM4,000 pada April serta RM3,945 pada Mei dan Jun.

“Peningkatan tahun ke tahun tertinggi bagi median upah bulanan dicatatkan dalam kalangan pekerja formal berusia 50 hingga 54 tahun, manakala median upah bulanan bagi pekerja berumur bawah 20 tahun kekal tidak berubah pada RM1,700 sejak Februari 2025,” menurut DOSM.

Bagaimanapun, peratus pekerja formal warganegara yang menerima upah bulanan bawah RM1,700 menurun kepada 8.2 peratus pada Jun, berkurang sebanyak 2.2 mata peratus daripada 10.4 peratus pada tempoh sama tahun lepas.

Sementara itu, perbandingan median upah bulanan mengikut jantina menunjukkan bahawa pekerja formal lelaki, yang merangkumi 55.1 peratus daripada jumlah pekerja formal warganegara atau 3.97 juta orang, menerima median upah bulanan sebanyak RM3,000.

“Pekerja formal perempuan yang meliputi 44.9 peratus daripada keseluruhan atau 3.23 juta orang, menerima median upah sebanyak RM2,964,” menurut kenyataan itu.

Secara keseluruhan, prestasi pasaran buruh formal Malaysia kekal stabil dan berdaya tahan pada suku tahun kedua 2026, disokong oleh pertumbuhan berterusan bilangan pekerja formal dan median upah bulanan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved