Upah pekerja wanita RM36 lebih rendah daripada lelaki

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 1:25 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Upah pekerja wanita RM36 lebih rendah daripada lelaki

PETALING JAYA – Median upah bulanan pekerja wanita sektor formal di Malaysia adalah RM36 lebih rendah berbanding lelaki pada Jun 2026.

Berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) bagi suku tahun kedua 2026 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM, pekerja wanita merekodkan median upah bulanan sebanyak RM2,964 berbanding RM3,000 bagi pekerja lelaki.

DOSM berkata, pekerja formal lelaki merangkumi 55.1 peratus daripada keseluruhan pekerja formal warganegara Malaysia, iaitu seramai 3.97 juta orang.

“Sebaliknya, pekerja formal warganegara perempuan meliputi 44.9 peratus daripada keseluruhan atau 3.23 juta orang dan menerima median upah bulanan sebanyak RM2,964,” katanya dalam kenyataan.

Secara keseluruhan, median upah bulanan pekerja sektor formal meningkat 4.8 peratus kepada RM3,000 pada Jun 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Bilangan pekerja formal warganegara turut meningkat 3.3 peratus kepada 7.20 juta orang berbanding 6.97 juta orang pada Jun 2025.

Dari segi aktiviti ekonomi, sektor perlombongan dan pengkuarian mencatatkan median upah bulanan tertinggi sebanyak RM6,722 pada Jun lalu, manakala sektor pertanian merekodkan median terendah sebanyak RM2,282.

Mengikut negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan median upah bulanan tertinggi sebanyak RM4,245, diikuti Selangor (RM3,245) dan Pulau Pinang (RM3,000).

Sebaliknya, Kelantan mencatatkan median upah bulanan terendah sebanyak RM1,827, diikuti Perlis (RM1,864) dan Sabah (RM2,045).

Laporan itu turut menunjukkan peratus pekerja formal yang menerima upah bulanan di bawah RM1,700 menurun kepada 8.2 peratus pada Jun 2026 berbanding 10.4 peratus pada bulan sama tahun sebelumnya.

Dalam analisis persentil, 10 peratus pekerja formal dengan upah terendah menerima RM1,700 atau kurang sebulan, manakala 10 peratus kumpulan berupah tertinggi menerima sekurang-kurangnya RM9,600 sebulan.

Secara keseluruhan, prestasi pasaran buruh formal Malaysia kekal stabil dan berdaya tahan pada suku tahun kedua 2026, disokong oleh pertumbuhan berterusan bilangan pekerja formal serta median upah bulanan. – KOSMO! ONLINE

The post Upah pekerja wanita RM36 lebih rendah daripada lelaki appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved