KERAJAAN nampaknya semakin prihatin terhadap warga emas. Bantuan ditambah, cukai perkhidmatan penjagaan dikurangkan, malah Rang Undang-Undang Warga Emas bakal digubal. Semuanya berita baik. Tetapi apabila tiba soal perlindungan perubatan, warga emas mungkin perlu menarik nafas panjang sebelum tersenyum.
MediAsas bakal dilancarkan Januari depan dikatakan menawarkan premium mampu milik. Namun, apabila bayarannya boleh mencecah RM550 sebulan, pesara mungkin perlu membuat pilihan antara membayar premium dengan membeli barang dapur.
Belum dikira cagaran RM1,000 di hospital dalam rangkaian dan sehingga RM4,000 di hospital luar rangkaian. Nampaknya, sakit pun ada pakej harga tersendiri. Semakin berusia, semakin tinggi kos yang perlu ditanggung.
Sedangkan ketika itulah tubuh semakin memerlukan rawatan, pendapatan pula semakin mengecil. Lebih menarik, pekerja perusahaan kecil dan sederhana boleh menikmati subsidi premium RM200 bagi tahun pertama, manakala ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bawah usia 55 tahun dibenarkan menggunakan simpanan Akaun Sejahtera.
Pesara yang sudah melepasi usia itu bagaimana? Jangan pula kita terlalu ghairah mengumumkan angka had perlindungan RM150,000 jika premium dan bayaran awal sudah menjadi tembok penghalang perlindungan yang tidak mampu dibeli tidak ubah seperti payung mahal yang hanya mampu dipandang ketika hujan.
MediAsas bukanlah idea yang perlu ditolak. Sebaliknya, kerajaan perlu memastikan skim itu benar-benar melindungi golongan rentan, termasuk melalui subsidi bersasar, kadar cagaran munasabah dan kawalan kenaikan premium.
Usia emas sepatutnya menjadi masa menikmati hasil kehidupan, bukannya usia menghitung baki wang setiap kali jatuh sakit. Akhirnya, persoalannya mudah - jika yang muda dibantu untuk membeli perlindungan, yang tua pula dibiarkan mengira kemampuan, di manakah letaknya semangat kebajikan yang dilaungkan?
Jangan sampai MediAsas menjadi mampu milik pada kertas, tetapi sekadar mampu dilihat oleh warga emas.



