KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan melancarkan Pelan MediAsas pada Januari 2027 pada harga mampu milik, dengan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia bawah 55 tahun dibenarkan menggunakan Akaun Sejahtera untuk membayar premium pelan berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi pelan itu bayaran hospital akan ditentukan berdasarkan jenis diagnosis dan rawatan bagi memastikan kos perubatan lebih terkawal serta mudah dijangka.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, Kerajaan turut menyediakan subsidi premium tahun pertama sebanyak RM200 bagi setiap pekerja perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai kurang daripada 75 pekerja, terhad kepada 50 pekerja bagi setiap syarikat.
"Ini dijangka memanfaat hingga 200,000 pekerja," katanya ketika pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat di sini pada Jumaat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bil hospital swasta juga akan menggunakan kategori caj yang seragam dan telus bagi membantu pesakit memahami setiap bayaran serta mengurangkan herotan harga dalam meningkatkan ketelusan kos rawatan swasta.
Menurut beliau, Portal e-CKAPS turut dibangunkan bagi membolehkan urusan pelesenan fasiliti kesihatan swasta dibuat sepenuhnya dalam talian mulai 2027, dengan tempoh pemprosesan disasar berkurang hingga 65 peratus.
Tambah Ahli Parlimen Tambun itu, kerajaan turut meningkatkan bantuan kesihatan kepada golongan memerlukan menerusi penambahan peruntukan Dana Tabung Bantuan Perubatan kepada RM60 juta berbanding RM40 juta sebelum ini.
"Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pasangan berusia 40 tahun ke atas pula ditawarkan saringan kesihatan percuma, bantuan alat perubatan serta insentif rawatan kanser menerusi program PeKa B40 dengan peruntukan RM80 juta.
"Sejak diperkenalkan, MySalam pada 2027 memanfaatkan 1.6 juta rakyat dengan jumlah tuntutan sebanyak RM1.3 bilion. Skim MySalam diteruskan pada tahun 2027," ujar beliau.
Bagi membantu pasangan mendapatkan rawatan kesuburan, Anwar berkata, program BuAi menawarkan rawatan pada kos mampu milik kepada 2,000 pasangan selain perkhidmatan kesejahteraan lelaki yang menyasarkan 42,000 individu.
"Saringan talasemia percuma diperluas kepada suami dan anak pembawa penyakit bagi mengurangkan risiko kelahiran bayi dengan talasemia major," katanya.






