MEF desak kerajaan perketat pengambilan pekerja asing, utamakan rakyat Malaysia

LocalPolitics
22 Oct 2026 • 10:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MEF desak kerajaan perketat pengambilan pekerja asing, utamakan rakyat Malaysia Image from: MEF desak kerajaan perketat pengambilan pekerja asing, utamakan rakyat Malaysia amree22/10/2026 - 10:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Okt – Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menggesa kerajaan memperketat penguatkuasaan pengambilan pekerja asing bagi memastikan kelulusan yang diberikan hanya digunakan untuk sektor dan pekerjaan yang benar-benar mengalami kekurangan tenaga kerja.

 

Tuntutan itu susulan kebimbangan terhadap laporan pekerja asing diambil bekerja sebagai juruwang, pembantu jualan, petugas perkhidmatan dan pekerja perkhidmatan makanan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pematuhan dasar pengambilan pekerja asing sedia ada.

 

MEF menegaskan rakyat Malaysia perlu diberi peluang pertama mengisi kekosongan pekerjaan, manakala majikan perlu membuktikan usaha sewajarnya sudah dilakukan untuk mengambil, melatih dan mengekalkan pekerja tempatan sebelum mendapatkan tenaga kerja asing.

 

"Usaha berkenaan turut perlu merangkumi isu tawaran gaji yang kompetitif dan secara lebih mampan, penambahbaikan keadaan kerja, peluang kemajuan kerjaya serta pelaburan dalam pembangunan kemahiran pekerja tempatan," jelasnya dalam kenyataan.

 

Bagaimanapun, MEF mengakui pekerja asing masih diperlukan bagi pekerjaan yang dikategorikan sebagai kotor, berbahaya dan sukar (3D), selain jawatan yang sukar diisi dan dikekalkan oleh pekerja tempatan meskipun usaha pengambilan munasabah telah dilaksanakan.

 

Bagi menangani isu penyalahgunaan kelulusan, ia mencadangkan pemeriksaan pematuhan dipertingkatkan serta tindakan tegas diambil terhadap majikan, ejen pengambilan dan pihak lain yang melanggar syarat kelulusan atau menempatkan pekerja asing di luar sektor yang dibenarkan.

 

MEF_DagangNews2026

 

Di samping itu, MEF turut menggesa penyelarasan dan perkongsian data lebih baik antara kementerian serta agensi penguatkuasaan, selain semakan berkala terhadap kekurangan tenaga kerja bagi memastikan kelulusan pengambilan pekerja asing mencerminkan keperluan sebenar pasaran buruh.

 

"Kerajaan wajar memperluas sekatan pengambilan pekerja asing bagi pekerjaan terpilih yang mampu diisi oleh rakyat tempatan, namun memberi amaran langkah menyeluruh berisiko mencetuskan kekurangan pekerja, meningkatkan kos operasi dan mengganggu perkhidmatan penting," katanya.

 

Penasihat Kanan MEF bagi Hal Ehwal Kerajaan, Media dan Penglibatan Antarabangsa, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, pekerja asing memainkan peranan penting dalam sektor yang mengalami kekurangan tenaga kerja sebenar, tetapi tidak seharusnya menjadi pengganti bakat tempatan.

 

Beliau menambah, kerajaan perlu mengambil tindakan lebih tegas terhadap pihak yang menyalahgunakan kelulusan pengambilan pekerja asing, memintas sekatan sektor atau menggaji pekerja asing di luar daripada bidang pekerjaan yang diluluskan. 

 

Kebergantungan berlebihan terhadap tenaga kerja import tanpa pelaburan mencukupi dalam bakat tempatan juga boleh meningkatkan kos pengambilan dan mendedahkan negara kepada gangguan bekalan tenaga kerja serta kelemahan tahap produktiviti.

 

"MEF menegaskan matlamat dasar buruh negara bukan sekadar mengehadkan kemasukan pekerja asing, sebaliknya membangunkan tenaga kerja Malaysia yang lebih berkemahiran dan berdaya saing bagi menyokong kelestarian ekonomi jangka panjang," katanya.

 

Pelaksanaan dasar yang seimbang, menurut persekutuan itu, penting bagi melindungi peluang pekerjaan rakyat tempatan tanpa menjejaskan operasi perniagaan dan sektor yang masih memerlukan tenaga kerja asing. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved