Rakyat kita sebenarnya rajin, pemain industri perlu adil – Johari

LocalBusiness & Finance
8 Sep 2026 • 11:47 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Rakyat kita sebenarnya rajin, pemain industri perlu adil – Johari

KUALA LUMPUR – Pemain industri negara diingatkan supaya berlaku adil kepada pekerja tempatan dengan menawarkan gaji yang setimpal berdasarkan kelayakan, kemahiran dan kos sara hidup semasa.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kehidupan pekerja tempatan berbeza berbanding pekerja asing kerana mereka mempunyai pendidikan dan kelayakan tertentu.

Menurut beliau, perkara itu perlu diambil kira oleh industri ketika menentukan struktur gaji supaya pekerjaan ditawarkan mempunyai nilai ekonomi yang menarik kepada rakyat tempatan.

“Ada orang beritahu saya, mereka dah tawar (pekerjaan), tapi rakyat tempatan tak mahu terima. Saya tanya, awak tawar gaji berapa? Kalau tawar gaji (macam) pekerja asing minimum RM1,700, saya kata mungkin dia tak boleh ambil sebab tak nampak economy value (nilai ekonomi) untuk terima pekerjaan tu.

“Kehidupan mereka (rakyat tempatan) bukan macam kehidupan pekerja asing yang satu bilik boleh kongsi empat, lima ke 10 orang. Mereka (rakyat tempatan) ada keluarga, pendidikan dan kelulusan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas berucap dan menyempurnakan Majlis Pelancaran Forum Wanita, Kecerdasan Buatan dan Ekonomi Digital di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WCTKL), hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, rakyat Malaysia sebenarnya rajin bekerja, namun aspek pendapatan dan nilai ekonomi menjadi antara faktor utama dalam menentukan pekerjaan yang ingin diceburi.

Katanya, keadaan itu dapat dilihat apabila ramai rakyat tempatan yang sanggup berulang-alik ke Singapura setiap hari untuk bekerja, walaupun perlu menempuh perjalanan lebih berjam-jam kerana pendapatan diperoleh memberikan nilai ekonomi lebih baik.

“Kalau tidak ada nilai ekonomi, akhirnya mereka berfikiran, lebih baik bawa Grab. Setiap hari dapat pendapatan dan pada masa sama boleh hantar anak ke sekolah tanpa perlu bayar bas sekolah.

“Jadi, kita kena faham pemikiran ini kerana ia sangat penting dan saya tegaskan sebab rakyat kita ni (sebenarnya) rajin buat kerja,” ujarnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, industri negara termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana perlu mempercepatkan penggunaan automasi dalam operasi dan pengeluaran bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing pada masa depan.

Johari berkata, kebergantungan berlebihan terhadap pekerja asing bukan sahaja memberi kesan kepada struktur kos industri, malah boleh menjejaskan daya saing syarikat yang tidak mempunyai akses lebih luas kepada tenaga kerja asing. – KOSMO! ONLINE

The post Rakyat kita sebenarnya rajin, pemain industri perlu adil – Johari appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved