
PUTRAJAYA: Akta Insolvensi Rentas Sempadan 2026 [Akta 877] yang berkuatkuasa pada 28 Ogos lalu menyediakan mekanisme khusus bagi mengurus prosiding insolvensi membabitkan lebih daripada satu bidang kuasa.
Dalam satu kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata pelaksanaan Akta 877 adalah hasil kerjasama kedua-dua kementerian.
Katanya penguatkuasaan akta itu dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh kerangka perundangan negara, khususnya dalam menangani kes membabitkan penghutang, aset, pemiutang atau prosiding yang mempunyai elemen rentas sempadan.
Menurut mereka penguatkuasaan undang-undang berkenaan selaras dengan agenda reformasi undang-undang Kerajaan Madani bagi memastikan kerangka perundangan Malaysia terus relevan, progresif dan sejajar dengan perkembangan ekonomi, sosial serta perdagangan antarabangsa.
“Akta 877 menyediakan mekanisme khusus untuk mengendalikan prosiding insolvensi yang melibatkan penghutang, aset, pemiutang atau prosiding di lebih daripada satu bidang kuasa.
“Kerangka ini penting bagi membolehkan kes insolvensi rentas sempadan diuruskan dengan lebih teratur selain membantu memperjelas proses dan hubungan antara pihak berkepentingan yang terbabit dalam prosiding berkenaan.
“Akta ini juga berasaskan Undang-Undang Model Insolvensi Rentas Sempadan yang diterima pakai oleh Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL).
“Bagaimanapun undang-undang model ini disesuaikan dengan keperluan dan konteks Malaysia termasuk mengambil kira undang-undang, amalan kehakiman, keadaan ekonomi serta kepentingan awam negara,” katanya.
Mereka berkata penguatkuasaan Akta 877 dijangka meningkatkan kecekapan pengurusan kes insolvensi rentas sempadan dan pada masa sama akan memperkukuh kerjasama antara mahkamah dan pihak berkuasa berkaitan dalam mengendalikan prosiding yang mempunyai kaitan dengan lebih daripada satu bidang kuasa.
Menurut mereka akta berkenaan juga bertujuan meningkatkan kepastian undang-undang serta melindungi kepentingan pemiutang dan pihak berkepentingan yang terbabit termasuk turut mempunyai kepentingan dari sudut pengurusan aset apabila Akta 877 membantu memaksimumkan nilai aset penghutang dalam proses insolvensi.
Selain itu mereka berkata kerangka baharu berkenaan dapat memudahkan usaha menyelamatkan perniagaan yang berdepan masalah insolvensi sekaligus membantu melindungi pelaburan dan memelihara pekerjaan.
“Kerajaan Madani komited memastikan Akta 877 dilaksanakan secara teratur, cekap dan berkesan.
“Pelaksanaan akta ini juga dilihat sebagai antara usaha memperkukuh daya tahan ekonomi negara selain menyokong kedudukan Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan antarabangsa,” ujarnya.
Kedua-dua menteri turut menegaskan kepentingan pelaksanaan akta itu dalam meningkatkan kecekapan pengurusan kes, kerjasama antara mahkamah dan pihak berkuasa, kepastian undang-undang serta perlindungan terhadap pemiutang dan pihak berkepentingan.





