Melaka perluas peluang akuakultur untuk nelayan

LocalBusiness & Finance
18 Oct 2026 • 9:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Melaka perluas peluang akuakultur untuk nelayan
Kerajaan Melaka merancang memperluas peluang nelayan untuk menceburi industri akuakultur bagi meningkatkan daya saing dan membuka sumber pendapatan alternatif kepada golongan itu. Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Kerajaan Melaka merancang memperluas peluang nelayan untuk menceburi industri akuakultur bagi meningkatkan daya saing dan membuka sumber pendapatan alternatif kepada golongan itu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, antara usaha yang dirancang ialah memberi peluang kepada nelayan mengusahakan ternakan ikan, kerang dan kepah di kawasan diwartakan untuk aktiviti akuakultur.

Menurutnya, Sungai Rambai mempunyai kegiatan ternakan kerang dan kepah, manakala Kuala Linggi pula terlibat dalam ternakan ikan.

"Kita juga merancang supaya persatuan-persatuan nelayan merebut peluang untuk menjadi nelayan yang lebih berdaya saing.

“Kita mewujudkan program akuakultur seperti di Sungai Rambai. Kita ada ternakan kepah yang terbaik hasilnya di Malaysia yang telah memberikan satu alternatif baharu kepada nelayan untuk menjalankan urusan ekonomi mereka terutama mereka yang terjejas.

"Mungkin mereka tidak lagi turun ke laut untuk menangkap ikan tetapi boleh menjalankan perniagaan di kawasan telah diwartakan sebagai kawasan akuakultur," katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai langkah kerajaan negeri membantu nelayan yang terjejas sumber pendapatan susulan pelaksanaan projek Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ).

Sebelum ini, projek berkenaan menerima kritikan daripada Pakatan Harapan (PH) ketika gabungan itu menjadi pembangkang kerana didakwa berpotensi menjejaskan biodiversiti marin dan pendapatan lebih 1,000 nelayan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri sedang berusaha membuka peluang kepada nelayan terjejas untuk menjadi pengusaha industri akuakultur yang berpotensi memberikan pulangan lebih baik dengan penggunaan teknologi baharu.

Katanya, usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

"Nelayan yang terjejas ini pun telah menikmati pampasan yang diberikan, bukan sahaja kepada nelayan yang berada dalam kawasan ekonomi tersebut tetapi seluruh nelayan dari Kuala Linggi sehingga Sungai Rambai.

"Setiap tambakan laut akan diuruskan pampasannya," katanya.

Ab Rauf berkata, pembangunan tambakan laut di Melaka telah bermula sejak 40 tahun lalu termasuk pembangunan koridor pantai sepanjang kira-kira tiga kilometer dari hotel DoubleTree by Hilton hingga Hospital Oriental.

Menurutnya, pembangunan koridor pantai itu turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

"Kalau tanya saya, apakah SM-WEZ akan menjadi satu kawasan ekonomi baru? Pastinya dan akan menjadi satu bandar baharu yang akan diwujudkan di kawasan tersebut.

"Jadi, kalau persoalan yang timbul, persetujuan daripada komponen kerajaan yang duduk dan dia duduk dalam kerajaan kita dia tak komen, sebenarnya mereka juga mendapat limpahan ekonomi ini, sebab kita ada zon pelancongan, zon perindustrian dan zon perumahan," ujar beliau.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved