Melaka rancang tarik pelaburan RM30 bilion dalam lima tahun - Ketua Menteri

LocalBusiness & Finance
11 Nov 2026 • 10:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Melaka rancang tarik pelaburan RM30 bilion dalam lima tahun - Ketua Menteri Image from: Melaka rancang tarik pelaburan RM30 bilion dalam lima tahun - Ketua Menteri amree11/11/2026 - 10:50 Gambar hiasan - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR 11 Nov — Melaka merancang membangunkan Taman Teknologi Jerman (GTP) seluas 302 hektar di Ayer Keroh sebagai antara salah satu pemangkin utama untuk menarik pelaburan berjumlah RM30 bilion dalam tempoh lima tahun, khususnya dalam sektor semikonduktor, mikrocip dan teknologi tinggi.

 

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pembangunan taman teknologi itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama sektor swasta dan kerajaan negeri tersebut dengan mengambil inspirasi daripada pendekatan Jerman yang lebih sistematik serta tersusun dalam pengurusan zon perindustrian.

 

Sehubungan itu ujar beliau, Melaka menyasarkan dapat menarik secara purata pelaburan RM6 bilion setiap tahun sepanjang tempoh lima tahun berkenaan, disokong dengan kekuatan ekosistem industri elektrik dan elektronik (E&E) yang semakin berkembang pesat di negeri berkenaan.

 

"Melaka sendiri sudah mempunyai industri semikonduktor dan mikroelektronik yang aktif dengan kehadiran beberapa pengeluar global terkemuka, sekali gus membuka peluang untuk memperluas ekosistem industri khususnya dalam sektor mikrocip," kata beliau pada Rabu.

 

Ab Rauf menambah, pembangunan menerusi GTP dijangka meningkatkan lagi daya tarikan Melaka kepada banyak syarikat antarabangsa yang ingin memanfaatkan pelbagai kemudahan serta ekosistem industri berteknologi tinggi di negeri berkenaan.

 

Kehadiran syarikat global seperti Infineon, Texas Instruments dan Koa Denko turut mencerminkan potensi Melaka sebagai destinasi pelaburan teknologi tinggi, selain membuka ruang kepada pengembangan operasi serta kemasukan pelaburan baharu dalam industri semikonduktor.

 

Melaka_DagangNews2026
Gambar hiasan

 

Menurut beliau lagi, perluasan operasi syarikat sedia ada juga berpotensi menarik lebih banyak pelaburan baharu, termasuk dalam sektor sokongan yang menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan industri semikonduktor.

 

"Dalam usaha mencapai sasaran berkenaan, kerajaan negeri sedang menyelaraskan tindakan antara agensi bagi mewujudkan persekitaran mesra perniagaan, mengurangkan kerenah birokrasi dan memudahkan kemasukan pelabur domestik serta asing," tambah Ab Rauf.

 

Ujar beliau lagi, kedudukan strategik Melaka dari segi lokasi, selain harga tanah dan kos operasi yang lebih kompetitif berbanding beberapa negeri lain, menjadi kelebihan dalam persaingan negeri itu mendapatkan sejumlah pelaburan baharu.

 

Kerajaan negeri juga akan meneruskan promosi pelaburan di peringkat antarabangsa dengan mengetengahkan kekuatan ekosistem perindustrian, tenaga kerja serta kemudahan sokongan bagi merealisasikan sasaran pelaburan RM30 bilion dalam tempoh lima tahun.

 

Justeru, Ab Rauf berkata, usaha menarik pelaburan itu penting kerana kemasukan pelaburan baharu akan mewujudkan peluang pekerjaan, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi negeri. - BERNAMA

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved