
PETALING JAYA – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan ucapannya dalam kempen di Jempol, Negeri Sembilan baru-baru ini hanya merujuk kepada fakta sejarah Tanah Melayu bukannya menafikan hak kerakyatan mana-mana kaum.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu memaklumkan, ucapannya itu tidak pernah menafikan hak kerakyatan mana-mana kaum, sebaliknya berlandaskan pandangan tokoh antarabangsa seperti Oliver Stanley, Lord Killearn dan Lord Ogmore.
Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, semua ucapan itu membawa inti pati sama, iaitu Tanah Melayu ialah wilayah dengan hubungan sejarah, politik dan kebudayaan khusus dengan masyarakat Melayu.
“Apa yang saya kata hanya begini, Melayu tadak (tiada) dah tanah, Melayu ada Tanah Melayu ni saja. Orang India ada India. Orang Cina ada Cina… Melayu di mana? Melayu di sini saja.
“Saya kemudiannya mengulangi gagasan ini dengan merujuk sejarah pembentukan negara. Allah buat bangsa ini ada tanah, kaum dia ada tanah dia. Siam duduk di Thailand, Vietnam di Vietnam, Kampuchea di Kemboja, Cina di China, India di India…Dulu nama tanah ni Tanah Melayu. Ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan kritikan terhadap ucapan beliau ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang didakwa menyentuh isu kerakyatan masyarakat bukan Melayu.
Mengulas lanjut beliau berkata, hubungan tersebut dapat dilihat menerusi kewujudan negeri-negeri Melayu, bahasa Melayu, adat istiadat, Islam sebagai unsur penting dalam sejarah, institusi Raja-Raja Melayu serta penggunaan istilah Persekutuan Tanah Melayu.
“Ucapan saya bukanlah gagasan luar biasa, baharu atau terpisah daripada sejarah. Ia hanyalah pengulangan dalam bahasa politik semasa terhadap pengakuan yang pernah dibuat secara terbuka di Parlimen British sejak 1946.
“Ia mempunyai persamaan dari segi teks dan konsep dengan ucapan Oliver Stanley pada 8 Mac 1946, Lord Killearn pada 13 April 1949 dan Lord Ogmore pada 29 Julai 1957.
“Penilaian terhadap sesuatu kenyataan perlu dibuat berdasarkan maksud, konteks dan keseluruhan ucapan, bukannya semata-mata identiti atau kedudukan politik penuturnya,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menjelaskan, pengiktirafan terhadap Tanah Melayu sebagai tanah air sejarah orang Melayu tidak bermaksud rakyat bukan Melayu tidak mempunyai hak terhadap Malaysia.
Beliau turut menafikan ucapannya sebagai seruan supaya masyarakat Cina atau India meninggalkan negara ini.
Katanya, dalam bahagian lain ceramah berkenaan, beliau turut menyatakan orang Melayu boleh hidup secara aman dan harmoni bersama masyarakat berbilang kaum.
“Saya menyebut peniaga Cina boleh membuka kedai dan berniaga dalam kampung Melayu tanpa diganggu, sambil menegaskan ‘kita tak kacau orang’”.
“Oleh itu, ucapan saya perlu dibaca sebagai kebimbangan mengenai kedudukan politik dan ekonomi Melayu, bukan seruan rakyat Malaysia berketurunan Cina atau India meninggalkan negara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Saya tak pernah suruh Cina, India tinggalkan Malaysia – Sanusi appeared first on Kosmo Digital.






