KONTROVERSI berhubung ucapan Menteri Besar Kedah merangkap Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, bermula daripada Ceramah Perdana PN-BN di Jempol, Negeri Sembilan, pada malam 23 Julai lalu.
Dalam ucapan tersebut, Sanusi membicarakan tiga perkara utama, iaitu kedudukan ekonomi orang Melayu, penyusutan kuasa politik Melayu menurut penilaiannya serta keperluan kerjasama antara Pas dengan UMNO.
Beliau mengaitkan isu berkenaan dengan sejarah Tanah Melayu dan menyeru orang Melayu, khususnya generasi muda, supaya lebih mengambil berat tentang politik.
Rakaman penuh ucapan beliau boleh ditonton melalui pautan berikut: https://www.youtube.com/watch?v=hbv3_V80DGc
Bahagian yang menjadi kontroversi bermula sekitar 1 jam 59 minit 55 saat: https://www.youtube.com/watch?v=hbv3_V80DGc&t=7195s
Pada 24 Julai, jam 2.16 petang, sebuah portal berita menerbitkan laporan bertajuk “Cina ada China, India ada India, Melayu hanya ada Tanah Melayu – Sanusi.”
Laporan berkenaan memetik kenyataan Sanusi: “Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada Cina, orang Kamboja ada Kamboja, orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja.”
Petikan itu memang disebut oleh Sanusi. Namun begitu, persoalan utama di sini bukanlah sama ada petikan itu benar-benar diucapkan, tetapi sama ada tajuk serta susunan laporan yang dibuat oleh Malaysiakini memberikan konteks yang mencukupi bagi membolehkan pembaca memahami maksud keseluruhan ucapan.
Lebih teruk lagi, portal tersebut bukan sekadar memetik kata-kata tersebut, tetapi turut mentafsirkannya sebagai satu penegasan bahawa Malaysia ialah tempat perlindungan bagi masyarakat pribumi, “berbeza dengan kaum lain yang mempunyai negara asal masing-masing”.
Tafsiran editorial portal tersebut itulah yang mengukuhkan persepsi bahawa Sanusi sedang mempersoalkan kedudukan rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India.
Bahagian ucapan yang tidak dimuatkan
Ucapan Sanusi sebenarnya mengandungi dua rujukan berasingan mengenai hubungan antara sesuatu bangsa dengan wilayah sejarahnya.
Rujukan pertama ialah bahagian yang dijadikan tajuk oleh portal tersebut. Tidak lama kemudian, Sanusi mengulangi idea tersebut dalam konteks sejarah: “ALLAH buat bangsa ini ada tanah, kaum dia ada tanah dia. Siam duduk di Thailand, Vietnam di Vietnam, Kampuchea di Kemboja, Cina di China, India di India.”
Beliau kemudian merujuk pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948 bagi menggantikan Malayan Union dan menjadikan perkara itu sebagai asas kepada hujah bahawa Tanah Melayu mempunyai sejarah serta identiti terasnya sendiri.
Lebih penting, sebelum rujukan kedua itu, Sanusi turut menyebut: “Ramai Melayu yang bertoleransi, boleh hidup bersama bangsa berbilang kaum, aman harmoni.” Beliau memberikan contoh peniaga Cina yang membuka kedai dan berniaga dalam kampung Melayu tanpa diganggu serta menegaskan: “Kita tak kacau orang.”
Bahagian ini penting kerana ia menunjukkan bahawa Sanusi tidak pernah menunjukkan sikap anti Cina atau India apatah lagi mahukan rakyat Malaysia berketurunan Cina atau India meninggalkan Malaysia. Fokus ucapannya adalah pada kebimbangannya terhadap kedudukan politik dan ekonomi orang Melayu, bukannya kepada penafian kewarganegaraan kaum lain.
Dengan tidak memasukkan bahagian toleransi tersebut serta rujukan kedua yang lebih jelas menghubungkan hujahnya dengan sejarah Persekutuan Tanah Melayu, laporan berkenaan meninggalkan ruang besar untuk pembaca mentafsirkan bahawa “Cina ada China” bermaksud rakyat Malaysia berketurunan Cina sepatutnya menganggap China sebagai tanah air mereka.
Inilah perbezaan antara petikan yang tepat dengan gambaran yang lengkap. Sesuatu petikan boleh jadi masih benar secara literal tetapi ia juga boleh menghasilkan satu persepsi yang mengelirukan apabila ayat sebelum dan selepasnya tidak disertakan.
Kecaman bernula selepas laporan diterbitkan
Pada hari yang sama, Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran, mengecam kenyataan tersebut. Beliau menegaskan bahawa rakyat Malaysia berketurunan India dan Cina bukan warganegara India atau China, sebaliknya rakyat Malaysia yang kesetiaannya kepada Malaysia dan Yang di-Pertuan Agong.
Vigneswaran turut menyatakan bahawa rakyat bukan Melayu tidak mempunyai negara lain untuk “pulang” dan kesetiaan tidak boleh ditentukan melalui warna kulit atau keturunan nenek moyang.
Reaksinya jelas berasaskan tafsiran bahawa ucapan tersebut menggambarkan kaum Cina dan India sebagai orang luar yang mempunyai tanah air alternatif.
Pada 25 Julai, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, pula menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak sensitif dan membawa implikasi bahawa rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India tidak benar-benar tergolong dalam negara ini.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan. Laporan mengenai kenyataannya secara khusus menyebut bahawa beliau memberikan reaksi terhadap apa yang “dilaporkan portal berkenaan”.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kemudiannya menasihatkan Sanusi supaya tidak memainkan isu kaum dan agama dalam kempen. Beliau berkata Sanusi lebih baik menumpukan perhatian kepada pentadbiran Kedah dan tidak perlu datang berkempen di Negeri Sembilan.
Ahmad Zahid berpandangan bahawa kenyataan sedemikian boleh mengundang pelbagai tafsiran dan meresahkan masyarakat majmuk.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, turut dalam satu kenyataan media menyatakan bahawa ungkapan yang digunakan oleh Sanusi tersebut boleh memberikan gambaran bahawa hanya orang Melayu benar-benar memiliki Malaysia sedangkan Malaysia ialah tanah air jutaan rakyat berketurunan Cina dan India.
Kronologi ini memperlihatkan bagaimana satu tajuk berita telah membentuk kerangka awal perbahasan. Selepas kerangka “Cina dan India mempunyai negara lain” diterima sebagai maksud ucapan, kebanyakan reaksi berikutnya memberikan jawapan kepada tafsiran tersebut, bukannya menganalisis keseluruhan ucapan.
Kertas siasatan dibuka selepas laporan polis
Pada 24 Julai, seorang lelaki berusia 40 tahun membuat laporan polis di Bandar Seri Jempol kerana tidak berpuas hati terhadap kandungan laporan portal tersebut mengenai ceramah Sanusi.
Pada 25 Julai, Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Datuk Alzafny Ahmad, mengesahkan bahawa satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Siasatan dikaitkan dengan perbuatan mengeluarkan, membuat, menerbitkan atau mengedarkan kenyataan atau berita yang boleh mendatangkan khianat awam.
Sanusi pada hari yang sama mendakwa kenyataannya telah diputarbelitkan dan menyatakan kesediaan mengambil tindakan undang-undang serta membuat laporan polis terhadap pihak yang menurutnya memesongkan ucapan tersebut.
Persamaan dengan ucapan Mufti Perlis
Tema yang dibawa oleh Sanusi sebenarnya mempunyai persamaan dengan ucapan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, sempena program Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) pada 18 Ogos 2019.
Video ucapan Dr Mohd Asri boleh ditonton di sini:
https://www.youtube.com/watch?v=WAjh2lrmhn4
Di dalam ucapan itu, Dr Mohd Asri menyatakan bahawa setiap negara mempunyai sejarah serta identiti dominannya. China dikaitkan dengan masyarakat Cina, India dengan masyarakat India dan Tanah Melayu dengan masyarakat Melayu.
Ujar beliau: “Semua bumi ini Allah takdirkan ada kaum yang duduk. Di Negara China kaum apa yang duduk? Cina. Siapa dia tuan tanah itu? Siapa pemimpin mereka? Di India siapa pemimpin mereka? Tanah itu untuk siapa? Ok, semua orang ada tanah dia. Tanah Melayu untuk siapa? Adilkah ini?”
Tambah beliau: ”Saya bukan kata orang lain tak boleh hidup di sini tetapi mestilah menghormati tuan tanah ini, mesti ada identiti. Orang Melayu pakai baju Melayu, tak salah nak pakai baju India pun, tapi bila kata baju kebangsaan baju apa, baju Melayu. Apakah itu bererti telah menghina kaum lain? Tak. You pergi ke Europe ada cara dia. You pergi ke Thailand ada cara dia. You datang Tanah Melayu ada cara dia.”
Tegas beliau lagi: “Saya kata keadilan untuk semua. Semua rakyat ada hak yang sama di hadapan undang-undang. Keadilan, justice, is for all, keadilan untuk semua, tetapi sesuatu tanah mesti mempunyai identitinya. Identiti yang dominan bagi Tanah Melayu agamanya ialah Islam adat istiadatnya ialah adat istiadat Melayu. Bukan perkauman, itu adalah realiti.”
Oleh itu, jika ucapan Sanusi dianggap satu kesalahan bagaimana pula dengan ucapan Dr Mohd Asri ini?
Titah Sultan Pahang
Menariknya, titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi di Laman Sejahtera Jelai, Felda Sungai Koyan pada 17 Jun turut menyentuh isu hampir sama.
Titah baginda: “Kebelakangan ini, rakyat semakin gusar apabila melihat golongan tertentu yang pada asalnya diterima atas dasar kemanusiaan, kini semakin berani mengemukakan pelbagai tuntutan yang tidak selari dengan kedudukan mereka di negara ini.”
Tambah baginda: “Dalam adat Melayu dan ajaran Islam, tetamu sentiasa dimuliakan. Namun, tetamu yang mengenal adab akan tahu menghargai budi, menghormati undang-undang dan memahami batas dirinya.
Tegas baginda lagi: “Jangan sampai biduk yang ditumpangkan akhirnya mahu menentukan haluan nakhoda. Jangan sampai kerana terlalu murah hati, tuan rumah pula dipersoalkan haknya di rumah sendiri,”titahnya.
Titah Sultan Pahang boleh dibaca di sini: https://www.kosmo.com.my/2026/06/17/jangan-sampai-tetamu-tentukan-haluan-nakhoda-sultan-pahang/
Pendekatan Wee Ka Siong lebih seimbang
Semua pihak sepatutnya perlu mencontohi pendekatan lebih berhati-hati yang digunakan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, dalam menangani isu ini.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia dimiliki secara bersama oleh semua warganegara dan kenyataan yang boleh ditafsirkan sebagai mempersoalkan kesetiaan seseorang hendaklah dielakkan.
Masa sama, beliau menyatakan bahawa ada kemungkinan kenyataan Sanusi telah disalahfahami atau telah ditafsirkan secara tidak tepat. Wee seterusnya meminta Sanusi memberikan penjelasan segera bagi meredakan ketegangan.
Pendekatan ini lebih sesuai dalam perbahasan apa-apa isu yang sensitif. Ia tidak menafikan kebimbangan masyarakat Cina dan India, tetapi tidak terus mensabitkan maksud seseorang hanya berdasarkan tajuk atau petikan terpilih.
Tanggungjawab media, pemimpin dan orang awam
Kritikan terhadap pembingkaian portal berita berkenaan ini tidak sama sekali bermaksud bahawa media tidak boleh melaporkan apa-apa kenyataan kontroversi. Media mempunyai hak dan tanggungjawab menyiarkan mana-mana ucapan pemimpin yang berkepentingan awam.
Namun begitu, bagi isu kaum dan agama, ketepatan petikan sahaja belum mencukupi. Laporan juga perlu memberikan konteks material, membezakan antara kata-kata sebenar dengan tafsiran wartawan dan memberikan ruang kepada pihak yang mahu dilaporkan untuk menjelaskan maksudnya seelok-eloknya sebelum laporan dibuat.
Kod Etika Wartawan Malaysia diperkenalkan bagi meningkatkan profesionalisme, integriti dan keyakinan masyarakat terhadap media sebagai sumber berita. Prinsip tersebut menuntut media mengelakkan kandungan yang tidak tepat, tidak berasas atau mengelirukan.
Portal berita berkenaan sewajarnya menerbitkan penjelasan atau laporan susulan yang mengandungi bahagian ucapan mengenai toleransi antara kaum, rujukan kedua kepada sejarah Persekutuan Tanah Melayu dan penjelasan langsung Sanusi tentang sama ada beliau merujuk rakyat Malaysia bukan Melayu atau negara China dan India sebagai entiti sejarah.
Pemimpin politik pula tidak sepatutnya tergesa-gesa seolah-olah mahu berlumba-lumba untuk mengeluarkan kecaman kepada pemimpin lain hanya berdasarkan tajuk berita.
Mereka perlu menonton rakaman penuh ucapan, menyemak urutan ucapan dan mendapatkan penjelasan pihak yang berucap sebelum membuat tuduhan serius.
Orang awam juga perlu mengamalkan tabayyun. Tajuk berita berfungsi meringkaskan sesuatu laporan, tetapi ia tidak semestinya memberikan keseluruhan konteks. Dalam kes ini, rakaman penuh tersedia secara terbuka dan boleh diperiksa sendiri.
Laporan polis juga tidak sepatutnya dibuat semata-mata berdasarkan tajuk, perbezaan politik atau petikan media sosial yang terputus. Sebelum membuat laporan polis, pengadu sepatutnya meneliti bahan penuh, mengenal pasti kenyataan khusus yang dipertikaikan dan menjelaskan asas kesalahan yang dipercayai berlaku.
Kesimpulan
Sesuatu petikan yang benar tidak semestinya menghasilkan gambaran yang lengkap ke atas sesuatu ucapan. Rakaman penuh ucapan Sanusi menunjukkan bahawa beliau meletakkan kenyataan tersebut dalam perbincangan tentang sejarah Tanah Melayu, kuasa politik dan ekonomi Melayu serta keperluan Pas dan UMNO bekerjasama.
Beliau juga menyatakan bahawa orang Melayu mampu hidup aman bersama masyarakat berbilang kaum dan tidak mengganggu peniaga Cina dalam komuniti Melayu.
Kesalahan portal berita dalam laporannya pula terletak pada pemilihan tajuk, tafsiran editorial dan kegagalan memasukkan konteks yang dapat membezakan antara tuntutan identiti sejarah Melayu dengan dakwaan bahawa rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India tidak memiliki Malaysia.
Penyelesaian yang baik ke atas isu ini boleh dibuat melalui tiga tindakan, iaitu portal berita berkenaan menjelaskan konteks laporan, Sanusi menerangkan maksudnya secara terus dan semua pihak menilai rakaman penuh sebelum membuat tuduhan.
Kebebasan media perlu dipertahankan, tetapi kebebasan itu mesti disertai dengan ketepatan, konteks dan akauntabiliti. Begitu juga kebebasan berpolitik mesti disertai dengan kecermatan di dalam bertutur kata.
Dalam masyarakat majmuk, satu tajuk yang tidak seimbang dan satu ungkapan yang kurang cermat sama-sama boleh mencetuskan salah faham.
*** AHMAD FADHLI SHAARI ialah KETUA PENERANGAN PAS.


