Melayu tidak bersatu memudaratkan bangsa, tanah air

LocalPolitics
12 Sep 2026 • 5:47 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Melayu tidak bersatu memudaratkan bangsa, tanah air

KUALA LUMPUR: Perpecahan dalam kalangan orang Melayu hanya akan memudaratkan kepentingan bangsa dan tanah air, selain melemahkan kedudukan politik Melayu dalam jangka panjang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa sudah sampai masanya segala bentuk perpecahan dalam kalangan orang Melayu perlu dielakkan.

Beliau berkata, penyatuan Melayu perlu dilihat sebagai satu iltizam politik untuk mengukuhkan kedudukan bangsa dan bukan sekadar slogan atau jenama.

“Secara asasnya, penyatuan Melayu yang dibawa dan diusahakan oleh UMNO ini mempunyai beberapa ciri penting. Pertama, dia adalah penyatuan yang bukan sekadar bersifat slogan atau jenama. Malah kita tidak memerlukan semua itu. Ia adalah iltizam politik untuk menguatkan kedudukan bangsa Melayu.

“Ia adalah penyatuan Melayu yang merentas masa, merentas usia, dan pastinya merentas ideologi politik. Ia penyatuan yang dibuat dengan kesediaan memadam khilafan silam.

“Ia dibuat atas kesedaran bahawa menyatukan bangsa adalah tuntutan agama, malah ia juga adalah tuntutan perlembagaan. Kerana Melayu dan segala domain Melayu itu adalah pasak terpenting dalam Perlembagaan Malaysia. Maka jika Melayu itu berpecah, maka semangat sebenar perlembagaan itu juga akan tergelincir.

“Apabila orang Melayu sendiri tidak bersatu, ia akan menyukarkan segala usaha perlembagaan itu diterjemah dan dilaksanakan,” katanya dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, penyatuan Melayu merupakan jalan utama untuk mengembalikan kekuatan dan kedudukan politik orang Melayu.

“Tiada jalan lain untuk mengembalikan kuasa politik Melayu kecuali melalui kesatuan dalam kalangan orang Melayu itu sendiri.

“Hari ini, di sebalik kebanjiran pelbagai parti politik Melayu, kuasa dan kedudukan politik orang Melayu tidak semakin baik. Sebaliknya, kebanjiran itu hanya melemahkan kedudukan politik Melayu,” katanya.

Beliau berkata, penyatuan yang diusahakan UMNO bertujuan mengajak semua orang Melayu kembali kepada usaha memusatkan kekuatan politik secara terpadu bagi memastikan kuasa politik Melayu kekal kukuh.

“Penyatuan Melayu itu penting bagi memastikan kuasa politik Melayu kekal dihormati oleh rakan-rakan kita di Sabah dan juga Sarawak.

“Ini akan memberikan kita keabsahan untuk terus mengemudi pemerintahan Malaysia,” katanya. – UTUSAN

The post Melayu tidak bersatu memudaratkan bangsa, tanah air appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved