Lihat keikhlasan ‘rakan’ di negeri SG4 bila pilihan raya – Mohamad

LocalPolitics
12 Sep 2026 • 6:50 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lihat keikhlasan ‘rakan’ di negeri SG4 bila pilihan raya – Mohamad

KUALA LUMPUR – UMNO mahu menguji sejauh mana keikhlasan rakan politiknya di negeri-negeri SG4 dalam usaha menyatukan orang Melayu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ujian itu boleh dilakukan menerusi pilihan raya di salah sebuah negeri SG4 bagi melihat formula kerjasama yang benar-benar boleh membuktikan keikhlasan semua pihak.

“Saya nak cadangkan Datuk Presiden supaya lepas (PRN) Melaka esok kita cuba pula sejauh mana keikhlasan kawan (rakan parti) kita. Kita minta salah satu daripada negeri SG4 buat pilihan raya.

“Kalau buat pilihan raya, saya nak tengok apa formula akan dipakai,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Menurut beliau, jika benar kerjasama itu dibuat atas dasar penyatuan ummah dan orang Melayu, perkara tersebut perlu dibuktikan melalui formula pembahagian kerusi yang adil dan dipersetujui bersama.

Ini kerana katanya, UMNO tidak mahu sekadar bergantung kepada persefahaman politik tanpa melihat sejauh mana ia diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

“Kalau benar-benar ikhlas di atas nama penyatuan ummah orang Melayu, maka kita lihat macam mana formula yang nak digunakan.

“Dari situ nanti kita lihat dan bolehlah kita pakai apa formula yang boleh menyatukan orang Melayu untuk kita menghadapi pilihan raya umum yang ke-16,” katanya semasa ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di sini hari ini.

Beliau turut memberi contoh formula pembahagian kerusi antara UMNO dan Pas sebelum ini yang menyaksikan UMNO memenangi 14 kerusi manakala Pas lima kerusi.

Katanya, terdapat empat lagi kerusi yang boleh dibahagikan sekiranya prinsip satu untuk satu benar-benar mahu digunakan.

“Jadi yang empat itu dua untuk kau, dua untuk aku. Senang, tak ada masalah. Tapi kita nak ‘test’ kejujuran,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, UMNO perlu belajar daripada pengalaman lalu dan tidak lagi terlalu mengharapkan bantuan atau ehsan parti lain untuk mengukuhkan kedudukannya.

Beliau menegaskan, kekuatan dalaman parti perlu menjadi keutamaan supaya UMNO tidak mudah diperkotak-katikkan atau diambil kesempatan oleh pihak lain.

“Jangan harap kepada ehsan orang. Bina kekuatan sendiri, jangan kita harapkan pertolongan orang, bantuan orang lain, parti lain.

“Dengan kekuatan sendiri, kekuatan dalaman kita, itu dapat dijadikan sebagai benteng untuk mengharungi apa jua yang akan kita hadapi,” katanya.

Tambah beliau, UMNO tetap menghargai rakan yang ikhlas untuk bekerjasama, namun parti itu tidak boleh mengabaikan kekuatan sendiri semata-mata kerana persepahaman politik.-KOSMO! ONLINE

The post Lihat keikhlasan ‘rakan’ di negeri SG4 bila pilihan raya – Mohamad appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved