Jangan biar orang Melayu menumpang di bandar sendiri

LocalPolitics
12 Sep 2026 • 4:06 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jangan biar orang Melayu menumpang di bandar sendiri

KUALA LUMPUR: Pembangunan semula bandar khususnya di ibu negara tidak boleh mengorbankan hak serta warisan pemilikan tanah orang Melayu sehingga menyebabkan mereka semakin terasing  ke kawasan pinggir bandar.

Ketua UMNO Bahagian Kepong, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pembangunan di Kuala Lumpur perlu dilaksanakan secara inklusif dan bukannya melalui proses gentrifikasi yang akhirnya menyebabkan masyarakat Melayu kehilangan kedudukan di kawasan bandar.

Menurutnya, UMNO Wilayah melalui Pengerusinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sudah menetapkan ‘garis merah’ yang tidak boleh dilangkaui dalam perkara melibatkan kepentingan masyarakat Melayu di ibu negara.

“Menteri DAP ada mencadangkan untuk dibuat semula Pembangunan Semula Bandar (URA).

“Itu belum lagi tentang cadangan bagaimana dia (DAP) hendak buat pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) tentang bagaimana dia hendak buat pemilihan Datuk Bandar.

“UMNO Wilayah melalui Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah meletakkan satu garis merah yang tidak boleh sama sekali dilangkah.

“Alhamdulillah, setakat ini kita berjaya mengekang kepincangan mereka. Pembangunan di Kuala Lumpur tidak boleh sama sekali mengorbankan hak dan warisan pemilikan tanah orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. 

Abdul Razak berkata, kawasan seperti Kampung Bharu serta penempatan warisan Melayu di ibu negara perlu dipelihara dalam setiap perancangan pembangunan.

Katanya, pembangunan yang dilaksanakan tidak seharusnya menyebabkan masyarakat Melayu secara beransur-ansur terpaksa berpindah keluar dari kawasan bandar.

“Pembangunan yang dirancang mestilah berteraskan konsep pembangunan inklusif, bukannya gentrifikasi yang sedikit demi sedikit menghalau orang Melayu keluar ke pinggir bandar.

“Kita tidak mahu dalam tempoh 10 tahun, 20 tahun akan datang, orang Melayu hanya menjadi penumpang di bandar kita sendiri,” katanya. – UTUSAN

The post Jangan biar orang Melayu menumpang di bandar sendiri appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved