
PETALING JAYA: METLEN dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menerusi anak syarikatnya, PETCO Trading (UK) Limited (PTUK) memeterai perjanjian jual beli (SPA) bagi pembekalan gas asli cecair (LNG) jangka panjang ke Greece.
PTUK akan membekalkan enam kargo LNG setahun daripada portfolio Atlantik Petronas berjumlah kira-kira 0.6 bilion meter padu setahun (bcma) bagi tempoh lima tahun bermula 2027.
Perjanjian itu mengukuhkan strategi METLEN Energy Sector Utility untuk mempelbagaikan sumber bekalan LNG, sekali gus meningkatkan fleksibiliti dan daya tahan dalam perolehan, selain menyumbang kepada keselamatan bekalan di Greece dan rantau Eropah Tenggara yang lebih luas.
Ketua Pegawai Eksekutif, International Energy Supply & Trading METLEN, Panayotis Kanellopoulos berkata, perjanjian dengan Petronas itu merupakan langkah penting dalam mengukuhkan strategi METLEN untuk mempelbagaikan sumber LNG.
“Dengan memperluaskan sinergi antarabangsa, termasuk bersama pemain LNG global terkemuka seperti Petronas, kami meningkatkan lagi fleksibiliti dan kebolehpercayaan bekalan, sekali gus menyokong pelanggan serta pasaran serantau yang lebih luas, selain mengukuhkan kedudukan Greece sebagai hab tenaga,” katanya.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim Petronas, Datuk Adif Zulkifli berkata, perjanjian itu menggariskan komitmen Petronas untuk menyediakan penyelesaian LNG yang boleh dipercayai dan fleksibel bagi memenuhi keperluan tenaga pelanggan yang terus berubah.
“Ketika pasaran terus berdepan keutamaan keselamatan tenaga, kemampuan membayar dan peralihan tenaga, Petronas kekal fokus dalam mencipta nilai menerusi portfolio LNG global, keupayaan perdagangan serta kerjasama yang dipercayai.
“Kami berbesar hati dapat menyokong strategi kepelbagaian bekalan METLEN serta menyumbang kepada pengukuhan daya tahan tenaga di Greece dan rantau Eropah Tenggara yang lebih luas,” ujarnya.
Menerusi aktiviti tenaga bersepadu serta kehadiran kukuh di sepanjang rantaian nilai gas, METLEN terus menyokong kecairan pasaran dan bekalan tenaga yang cekap, sekali gus mengukuhkan peranannya dalam landskap tenaga Eropah yang sedang berkembang.
SPA itu juga mencerminkan komitmennya untuk menyediakan bekalan LNG dengan memanfaatkan portfolio LNG global serta keupayaan penyelesaian berfokuskan pelanggan.
Menerusi PTUK, Petronas terus memperluaskan kehadiran LNG di pasaran Barat Terusan Suez, khususnya di Eropah dan rantau Mediterranean, selain mengukuhkan hubungan dengan pelanggan di pasaran pertumbuhan utama.
Secara bersama, METLEN dan Petronas menyasarkan untuk menyokong kepelbagaian sumber bekalan LNG serta memperkukuh daya tahan tenaga, di samping menyumbang kepada keperluan tenaga Greece dan rantau Eropah Tenggara yang terus berkembang. – UTUSAN
The post MELTEN, Petronas meterai perjanjian bekalan LNG ke Greece appeared first on Utusan Malaysia.



