PETRONAS bekal LNG ke Greece selama 5 tahun menerusi perjanjian dengan METLEN mulai 2027

LocalBusiness & Finance
14 Sep 2026 • 3:17 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PETRONAS bekal LNG ke Greece selama 5 tahun menerusi perjanjian dengan METLEN mulai 2027 Image from: PETRONAS bekal LNG ke Greece selama 5 tahun menerusi perjanjian dengan METLEN mulai 2027 liza14/09/2026 - 15:17 PETRONAS dan METLEN optimis kerjasama itu dapat meningkatkan kepelbagaian bekalan LNG dan daya tahan tenaga, selain menyokong keperluan tenaga Greece serta rantau Eropah Tenggara yang terus berkembang Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Sept –PETRONAS menerusi anak syarikatnya PETCO Trading (UK) Limited (PTUK), memeterai perjanjian jual beli gas asli cecair (LNG) jangka panjang dengan syarikat tenaga Greece, METLEN Energy & Metals Plc (METLEN) bagi membekalkan LNG ke Greece mulai 2027.

 

Di bawah perjanjian itu, PTUK akan membekalkan enam kargo LNG setahun daripada portfolio LNG Atlantik PETRONAS, bersamaan kira-kira 0.6 bilion meter padu setahun untuk tempoh lima tahun bermula 2027.

 

Perjanjian itu dijangka membantu METLEN mempelbagaikan sumber bekalan LNG yang memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mendapatkan bekalan tenaga dan meningkatkan daya tahan rantaian bekalannya.

 

 

 

 

 

Pada masa sama, kerjasama berkenaan menyumbang kepada keselamatan bekalan tenaga di Greece dan rantau Eropah Tenggara yang lebih luas, selain menyokong kedudukan Greece sebagai hab tenaga strategik serantau.

 

Kepelbagaian Bekalan LNG

METLEN berkata perjanjian itu mengukuhkan strateginya dalam sektor tenaga, khususnya usaha mempelbagaikan sumber bekalan LNG bagi memastikan bekalan yang lebih fleksibel dan boleh dipercayai.

 

Melalui kegiatan tenaga bersepadu dan kehadirannya dalam keseluruhan rantaian nilai gas, METLEN terus menyokong kecairan pasaran serta bekalan tenaga yang lebih cekap.

 

Bagi PETRONAS pula, perjanjian berkenaan mencerminkan komitmennya untuk menyediakan bekalan LNG menerusi portfolio LNG global serta keupayaan perdagangan dan penyelesaian tenaga yang dimilikinya.

 

Menerusi PTUK, PETRONAS turut memperluas kehadiran LNG di pasaran barat Terusan Suez   khususnya Eropah dan rantau Mediterranean, selain mengukuhkan hubungan dengan pelanggan di pasaran yang mempunyai potensi pertumbuhan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Bekalan dan Dagangan Tenaga Antarabangsa METLEN, Panayotis Kanellopoulos berkata perjanjian dengan PETRONAS itu merupakan langkah penting dalam strategi syarikat untuk mempelbagaikan sumber LNG.

 

Kerjasama PETRONAS Dan METLEN

Beliau berkata, peluasan kerjasama antarabangsa dengan pemain LNG global seperti PETRONAS akan meningkatkan fleksibiliti dan kebolehpercayaan bekalan, di samping menyokong pelanggan serta pasaran serantau yang lebih luas.

 

Menurutnya, kerjasama itu turut membantu mengukuhkan kedudukan Greece sebagai hab tenaga di rantau berkenaan.

 

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim PETRONAS, Datuk Adif Zulkifli berkata perjanjian itu mencerminkan komitmen PETRONAS untuk menyediakan penyelesaian LNG yang boleh dipercayai dan fleksibel mengikut keperluan pelanggan.

 

 

 

 

 

Katanya, ketika pasaran tenaga berdepan keutamaan berkaitan keselamatan tenaga, kemampuan mendapatkan tenaga pada kos berpatutan dan peralihan tenaga, PETRONAS terus memberi tumpuan kepada penciptaan nilai menerusi portfolio LNG global, keupayaan perdagangan serta kerjasama dengan pelanggan.

 

PETRONAS dan METLEN menyasarkan kerjasama itu dapat meningkatkan kepelbagaian bekalan LNG dan daya tahan tenaga, selain menyokong keperluan tenaga Greece serta rantau Eropah Tenggara yang terus berkembang.- DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved