Memaafkan tak jadikan seseorang itu rendah – Siti Nurhaliza

20 Oct 2026 • 10:58 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Memaafkan tak jadikan seseorang itu rendah – Siti Nurhaliza

PETALING JAYA – Memelihara silaturahim, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza menyeru orang ramai agar tidak memanjangkan salah faham yang sudah diselesaikan dengan penyanyi Indonesia, Lesti Kejora.

Siti atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin, 47, berkata setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, malah ada kalanya emosi mengatasi pertimbangan sehingga mencetuskan salah faham dalam hubungan.

“Meminta maaf tidak menjadikan seseorang itu rendah. Memaafkan pula tidak menjadikan seseorang itu kalah. Kedua-duanya memerlukan keberanian dan kebesaran hati,” katanya dalam hantaran di Insta Story.

Menerusi hantaran sama, penyanyi itu memetik firman Allah SWT menerusi Surah al-Hujurat, ayat 10 yang menyeru umat Islam supaya mendamaikan saudara seagama yang berselisih faham.

Beliau juga mengingatkan bahawa Rasulullah SAW mengajar umat Islam agar tidak memutuskan hubungan sesama saudara melebihi tiga malam, selain menggalakkan pihak yang berselisih untuk lebih dahulu memulakan salam.

Menurutnya, Islam tidak mengajar umatnya untuk mencari siapa yang menang dalam sesuatu perselisihan, sebaliknya mengutamakan perdamaian dan memulihkan hubungan yang terjejas.

“Apabila mereka yang terlibat sendiri sudah berdamai, mungkin tugas kita bukan lagi untuk menghakimi, mengungkit atau memilih pihak.

“Cukuplah kita mendoakan agar yang keruh kembali jernih, yang terluka kembali sembuh dan silaturahim yang pernah diuji menjadi lebih baik daripada sebelumnya,” ujarnya.

Penyanyi lagu Anta Permana itu berharap orang ramai dapat menjaga tutur kata, melembutkan hati dan tidak mengeruhkan keadaan apabila pihak yang terlibat sudah mengambil langkah berdamai.

“Yang sudah bermaafan, jangan kita adu-adukan lagi. Yang sudah berdamai, jangan kita nyalakan kembali apinya.

“Kerana akhirnya, menjaga silaturahim jauh lebih indah daripada memenangkan sebuah perselisihan,” katanya.

Terdahulu, isu membabitkan menantunya, Izara Aishah bermula selepas pelakon terbabit memuatnaik luahan terhadap salah seorang pasukan Lesti yang didakwa menjeling dan ‘pilih bulu’ ketika Konsert Gema Bumantara, Sabtu lalu.

Walaupun hantaran di media sosial itu sudah dipadam, netizen sempat menangkap layar dan menularkan kenyataan tersebut sehingga mencetuskan perdebatan antara peminat Indonesia dan Malaysia.

Isu bertambah hangat apabila suami Lesti juga pelakon, Rizly Billar menjelaskan seorang pengawal keselamatan lebih dulu bercakap kasar terhadap anak kecilnya ketika sesi bergambar dengan Siti.

Selepas itu, Lesti yang menjadi penyanyi undangan dalam konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil itu tampil memohon maaf atas hal yang tercetus selain berharap persahabatan dengan Siti serta ahli keluarganya tidak terjejas. – KOSMO! ONLINE

The post Memaafkan tak jadikan seseorang itu rendah – Siti Nurhaliza appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved