Memandu mabuk hingga ragut nyawa bukan sekadar cuai - ADUN Permatang

LocalPolitics
1 Apr 2026 • 12:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Nurul Syazwani (dua dari kanan) mencadangkan supaya kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian perlu diklasifikasikan semula sebagai 'culpable homicide not amounting to murder'.

SHAH ALAM - Kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian perlu diklasifikasikan semula sebagai culpable homicide not amounting to murder (menyebabkan kematian tanpa niat membunuh), selaras dengan prinsip undang-undang jenayah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, cadangan tersebut dilihat relevan berikutan individu yang memilih untuk memandu di bawah pengaruh alkohol tidak lagi boleh dianggap sekadar kecuaian.

"Tindakan tersebut adalah satu keputusan sedar yang diketahui berpotensi tinggi menyebabkan kematian dan elemen kesedaran terhadap risiko inilah yang menjadi asas kepada konsep culpable homicide.

"Mahkamah dalam beberapa kes terdahulu telah menegaskan bahawa kecuaian melampau yang menunjukkan sikap tidak mengendahkan keselamatan orang lain boleh mencapai tahap liabiliti jenayah yang lebih serius," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, cadangan tersebut bukan bertujuan untuk menghukum secara melulu, sebaliknya memperbetulkan kedudukan undang-undang agar selari dengan tahap keseriusan perbuatan itu.

"Sehingga hari ini, kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol yang menyebabkan kematian masih kebanyakannya didakwa di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Walaupun hukuman telah diperketatkan, realitinya kes-kes seumpama ini masih berulang dan ini menunjukkan bahawa pendekatan sedia ada belum cukup memberi kesan pencegahan yang efektif," katanya.

Nurul Syazwani berkata, sebarang pindaan undang-undang perlu dirangka dengan teliti agar tidak membebankan pembuktian pihak pendakwaan secara tidak realistik.

"Pendekatan terbaik adalah dengan mewujudkan kategori khusus yang menggabungkan elemen memandu mabuk dan menyebabkan kematian, dengan ambang pembuktian yang jelas serta hukuman yang setimpal.

"Nyawa manusia tidak boleh dinilai dengan ringan, undang-undang kita mesti berkembang seiring dengan realiti dan memastikan keadilan kepada mangsa serta keluarga mereka," tegas beliau.