
KAJANG - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV), hingga mengakibatkan enam individu cedera di Bypass Kajang–Semenyih, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.20 pagi melibatkan sebuah Range Rover Velar 2.0 dan sebuah Mazda E1800 Wagon.
“SUV berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang van, menyebabkan kenderaan itu terbalik di bahu kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pemandu SUV tidak mengalami kecederaan, manakala pemandu MPV bersama lima penumpang berusia antara tujuh hingga 51 tahun cedera dan telah dikejarkan ke Hospital Kajang serta Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.
Hasil siasatan awal mendapati pemandu SUV berusia 51 tahun itu berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.
“Suspek telah ditahan dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan lanjut”, katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta didenda antara RM30,000 hingga RM50,000,” tambahnya. - Getaran, 31 Mac 2026


