
Sejak penularan subvarian terbaru Omicron, peningkatan kes Covid-19 makin menjadi-jadi. Malah semalam, Malaysia telah mencatatkan sebanyak 4,020 kes dan kali terakhir kes positif baharu melepasi angka 4,000 adalah pada April lepas.
Lebih membimbangkan, angka harian ini juga dilihat meningkat secara mendadak setiap hari di mana Isnin lepas kes yang direkodkan adalah 1,918 manakala hari Selasa 2,932 dan Rabu sebanyak 3,561.
Menerusi GitHub, dari 4,020 kes harian yang dilaporkan, 4,011 adalah kes tempatan dan 9 daripadanya adalah kes import.

Secara keseluruhannya, terdapat sebanyak 25% peningkatan kes Covid-19 di Malaysia sejak minggu lalu.
Keseluruhan kes aktif sejak malam semalam adalah sebanyak 33,839 dengan 1,156 pesakit dimasukkan ke dalam hospital. Manakala 45 kes kini dirawat di ICU dan 23 dari mereka memerlukan alat bantuan pernafasan.
Selain itu, tiga kematian direkodkan dan dua daripadanya merupakan kes brought in dead (BID).
Menurut FMT, dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menasihat orang ramai untuk terus berhati-hati apabila menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba dan buat ujian kendiri sebelum pulang ke kampung.
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

