Memburu ‘lesen’ siakap kolam

29 Oct 2026 • 10:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Memburu ‘lesen’ siakap kolam

Satu lubuk menawarkan pelbagai ‘lesen’. Itu yang menjadikan kolam pancing berbayar sentiasa mendapat sambutan daripada pemburu spesies ikan air masin.

Tanpa perlu mengikut jadual pasang surut air, ikan di kolam pancing sudah tersedia pada bila-bila masa untuk menguji kecekapan dan kemahiran pemancing.

Paling penting, pastikan umpan atau gewang yang dipersembahkan mampu menarik perhatian ikan berkenaan.

Namun, untuk mendaratkan ikan kolam bukan mudah kerana ia berada dalam fasa high pressure atau bertekanan tinggi.

Tekanan tinggi bermaksud ikan sentiasa berada dalam keadaan lebih berjaga-jaga atau berwaspada sebelum memakan sesuatu.

Jadi, kaki pancing perlu bijak memanipulasikan pilihan sumber diet spesies yang berada di kolam.

Menurut perkongsian pemancing tegar kolam air masin, Muhammad Ikhwan Mohd. Shukri, penggayaan gewang untuk mengilat di kolam perlu dititikberatkan supaya aksi nampak lebih semula jadi agar kunjungan ke kolam berbayar tidak berakhir dengan ‘kumpau’.

Image from: Memburu ‘lesen’ siakap kolam
IKHWAN bersama ikan-ikan gred A seperti kerapu dan siakap yang berjaya didaratkannya di kolam D’ Healing.

Ikhwan memberitahu, ikan siakap putih di kolam pancing air masin mempunyai ragamnya yang tersendiri, sekali gus menyukarkan usaha memperdayakan ia dengan teknik mengilat.

“Mungkin ada yang beranggapan mudah, tapi sebenarnya kolam pancing adalah medan untuk menguji tahap kemahiran seseorang pemancing menggayakan gewang.

“Kita kena ingat, ikan di kolam lebih berhati-hati dan berada dalam fasa high pressure, sebelum meragut umpan atau gewang yang dihulurkan.

“Kepakaran menggayakan umpan atau gewang supaya kelihatan semula jadi sangat penting agar peluang untuk peroleh ikan sasaran seperti siakap putih berjaya direalisasikan,” katanya ketika ditemu bual K-Variasi baru-baru ini.

Ikan siakap putih (Lates calcarifer) atau dikenali sebagai barramundi terkenal sebagai salah satu spesies buruan bagi sukan memancing kerana aksi akrobatiknya ketika melawan daya tarikan tali pancing.

Salah satu kolam yang menjadi ‘port’ Muhammad Ikhwan memburu ikan siakap putih adalah di kolam berbayar, D’ Healing Sungai Jagung, Sungai Petani, Kedah.

Katanya, tawaran sehingga 12 spesies ikan air masin dalam satu kolam menjadikan D’ Healing sebagai pilihan kaki pancing berbanding lubuk-lubuk di muara atau laut.

Hal ini kerana, muara dan laut belum menjanjikan habuan disebabkan faktor cuaca serta kualiti air semasa.

Image from: Memburu ‘lesen’ siakap kolam
PEMANDANGAN indah sekitar kolam berbayar, D’ Healing Sungai Jagung, Sungai Petani, Kedah.

Antara spesies yang ditawarkan di kolam D’ Healing adalah ikan siakap merah, gerepoh, senangin Taiwan, jenahak dan kerapu.

Semua spesies itu boleh dipancing menggunakan teknik mengilat, pelampung dan dasar dengan menggunakan gewang jenis soft plastic, udang hidup atau ikan segar.

Pemuda yang mesra disapa Ikhwan itu memberitahu, dia lebih gemar menggunakan umpan soft plastic kerana tahan lasak, selain boleh ditukar dengan beberapa warna pilihan jika kurang berkesan.

“Teknik mengilat siakap putih menggunakan soft plastic di kolam D’ Healing berbeza jika dibandingkan dengan kolam ikan air masin lain.

“Karauan perlu dilakukan dengan kelajuan sederhana. Perlu dielak melakukan karauan terlalu laju atau terlalu perlahan.

“Di sini juga kurang efektif jika melakukan teknik karauan dan berhenti seketika atau jerk untuk meniru aksi seperti anak ikan tercedera.

“Untuk pilihan warna gewang soft plastic yang efektif dan sering mendapat sambaran adalah seperti hijau, kelabu, biru dan kuning,” jelasnya.

Fasa ikan aktif

Sekiranya ingin meningkatkan peluang untuk mendaratkan ikan siakap putih dan beberapa spesies lain, pengunjung dinasihatkan untuk melakukan aktiviti memancing pada awal pagi atau lewat petang.

Sementara sebelah malam pula lebih terkenal dengan pancingan teknik dasar menggunakan umpan ikan segar bagi menduga siakap putih serta spesies demersal lain seperti jenahak dan kerapu.

Mengulas lanjut, Ikhwan turut menyarankan supaya pemancing perluaskan spot atau lubuk ketika melakukan aktiviti mengilat berbanding tertumpu pada satu-satu sasaran sahaja.

“Menariknya di sini, ikan jarang tertumpu di satu-satu kawasan sahaja seperti di kincir air atau bahagian tengah kolam.

“Situasi ini memudahkan dan mengurangkan persaingan dalam kalangan pemancing untuk merebut spot atau lubuk yang ada di kolam.

“Untuk penggunaan gewang lebih efektif, lakukan aktiviti mengilat ketika cuaca redup terutamanya awal pagi dan lewat petang.

“Sekiranya datang pada waktu malam, adalah lebih baik untuk praktikkan teknik pemancingan dasar menggunakan umpan udang atau ikan belanak hidup,” katanya.

Peralatan memancing

Berkongsi berkenaan peralatan memancing, Ikhwan lebih gemar menggunakan peralatan berkekuatan ringan, walaupun kolam yang dikunjungi turut dihuni spesies bersaiz mega.

Jelasnya, penggayaan gewang soft plastic lebih mudah ketika menggunakan peralatan ringan jika dibandingkan dengan set berkekuatan sederhana atau keras.

“Kekili saya menggunakan jenis mendatar iaitu DevilCraft Texla 2.0 dengan nisbah ratio 6.9 dan dipadankan dengan joran Extend Forty Light Shark Series Casting 5-12LB.

“Dari segi ukuran panjang joran, lebih efektif dengan menggunakan joran enam kaki ke atas untuk memudahkan proses menghantar gewang lebih jauh dan tepat.

“Sementara itu, saya guna tali utama daripada Gtech Zenith X8 bersaiz 20LB dan diikat bersama perambut Kasking Fluorocarbon bersaiz 30LB.

“Saya guna soft plastic Kaidoku dengan ukuran enam hingga lapan sentimeter yang dipasang pada jighead Fixory saiz 2/0 dengan berat pilihan lima gram,” ujarnya.

Dengan menggunakan peralatan memancing seperti yang dinyatakan, Ikhwan berjaya peroleh ‘lesen’ siakap putih seberat 5.3 kilogram (kg) dalam pertarungan kurang daripada lima minit.

Meskipun begitu, rata-rata pemancing di kolam tersebut berjaya mendaratkan ikan bersaiz 600 gram sehingga 7kg.

Hakikatnya, dasar kolam berkenaan juga dihuni seekor ikan kerapu naga berskala 20kg yang menjadi salah satu tarikan utama buat pengunjung di kolam D’ Healing.

The post Memburu ‘lesen’ siakap kolam appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved