Memerah T20 bukan penyelesaian fiskal negara

LocalOpinion
15 May 2026 • 11:08 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Memerah T20 bukan penyelesaian fiskal negara
Laporan Sinar Harian dan gambar kecil: Dr Mukhtaruddin

RUNDINGAN Meja Bulat Nasional (RIMBUN) 2.0 anjuran Pemuda UMNO pada Ahad lalu menggesa kerajaan meneliti semula pemberian subsidi petrol RON95 kepada golongan T20 sebagai langkah memperkukuh kedudukan fiskal negara dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

Cadangan tersebut kemudiannya disahkan sedang diteliti kerajaan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan bahawa perkara itu telah dibincangkan oleh Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Hassan Marican sejak sebulan lalu.

Hakikatnya, setiap kali kerajaan berdepan tekanan fiskal, golongan berpendapatan tinggi atau T20 sering menjadi kumpulan pertama yang dicadangkan untuk dikurangkan manfaat yang mereka nikmati. Dari sudut politik, pendekatan ini kelihatan mudah kerana T20 dianggap masih mempunyai kemampuan untuk menyerap kenaikan kos dan pengurangan subsidi.

Namun persoalan dasar yang lebih besar ialah sama ada pendekatan sedemikian benar-benar adil, tepat dan mampan untuk jangka panjang.

Negara sememangnya tidak mampu lagi menanggung subsidi pukal tanpa had. Penyasaran subsidi perlu dilaksanakan bagi mengawal tekanan fiskal dan mengurangkan ketirisan. Namun penyasaran itu mesti dibuat secara telus dan berasaskan realiti kehidupan rakyat, bukan sekadar angka pendapatan kasar.

Jika kerajaan memilih jalan mudah dengan terus “memerah T20” setiap kali berlaku kekurangan hasil, kesannya bukan sahaja kepada pembayar cukai, tetapi juga kepada permintaan domestik dan pertumbuhan ekonomi.

Dari sudut struktur fiskal, T20 memang memikul beban besar cukai pendapatan negara. Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengakui bahawa T20 menyumbang sekitar 85 peratus kutipan cukai pendapatan individu pada 2022, iaitu kira-kira RM33.68 bilion daripada jumlah keseluruhan RM39.26 bilion, manakala M40 menyumbang sekitar 13 peratus. Ini menunjukkan sebahagian besar perkhidmatan awam dan bantuan sosial dibiayai oleh kumpulan pembayar cukai yang kecil tetapi berpendapatan tinggi.

Maka apabila kerajaan mahu menarik semula manfaat tertentu daripada kumpulan ini, kerajaan wajib menjelaskan ke mana penjimatan itu disalurkan dan bagaimana manfaat tersebut benar-benar sampai kepada kumpulan sasar tanpa kebocoran. Rakyat tidak menolak keadilan sosial, tetapi rakyat menolak dasar yang kabur dan sukar diaudit.

Masalahnya, label T20 sering digunakan secara terlalu umum seolah-olah semua dalam kategori itu hidup mewah. Hakikatnya, terdapat golongan yang benar-benar kaya, tetapi ada juga kelompok “borderline T20” yang hanya sedikit melepasi ambang pendapatan rasmi namun menanggung kos hidup bandar yang sangat tinggi.

Seperti ditunjukkan oleh laporan media, ambang pendapatan berbeza ketara mengikut strata, negeri dan kumpulan etnik. Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, menjelaskan bahawa kategori T20 nasional bermula dengan pendapatan sekurang-kurangnya RM12,680 sebulan. Namun di Putrajaya, ambang T20 mencecah RM19,030, diikuti Kuala Lumpur RM17,030 dan Selangor RM16,040. Sebaliknya, Kelantan dan Kedah merekodkan ambang T20 jauh lebih rendah, masing-masing di bawah RM7,000 dan RM7,820.

Data ini membuktikan bahawa kos hidup dan realiti ekonomi setiap negeri tidak sama. Seseorang yang dianggap T20 di Kuala Lumpur belum tentu hidup mewah apabila mengambil kira ansuran rumah, pendidikan anak, insurans, penjagaan ibu bapa, pengangkutan dan kos makanan bandar.

Mohd Uzir turut menyatakan bahawa kategori B40 di bandar ialah di bawah RM6,780, sedangkan di luar bandar hanya di bawah RM3,880. Maka konsep “mampu” tidak boleh ditentukan melalui angka kasar semata-mata.

Justeru, penyasaran subsidi tidak boleh dibuat secara simplistik. Pendapatan isi rumah perlu dilihat bersama tanggungan keluarga, lokasi tempat tinggal, kos pendidikan, kos pengangkutan dan pendapatan boleh guna sebenar. Jika tidak, penyasaran subsidi akan kelihatan seperti hukuman fiskal, bukan pembetulan sistem.

Lebih membimbangkan, apabila manfaat dikurangkan dan kos meningkat, sebahagian T20 akan mengurangkan perbelanjaan. Perbelanjaan ini bukan sekadar gaya hidup, tetapi menggerakkan ekonomi domestik. Restoran, bengkel, kontraktor kecil, pusat tuisyen, pelancongan domestik dan pelbagai perkhidmatan lain bergantung kepada kuasa beli kumpulan pertengahan dan atasan bandar.

Apabila perbelanjaan mengecil, permintaan tempatan menjadi perlahan, perniagaan kecil terjejas dan peluang pekerjaan menjadi lebih rapuh.

Isu bahan api memperlihatkan dilema ini dengan jelas. Kerajaan dilaporkan memperuntukkan sekitar RM2 bilion sebulan untuk mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter. Pada masa sama, harga diesel di Semenanjung pernah meningkat sehingga RM5.52 seliter pada hujung Mac 2026.

Apabila harga diesel meningkat, kos logistik, makanan dan operasi perniagaan turut meningkat. Akhirnya, semua golongan termasuk B40 dan M40 menerima kesan tekanan inflasi.

Seharusnya sebelum kerajaan mengurangkan manfaat kepada kumpulan pembayar cukai terbesar, kerajaan mesti menunjukkan disiplin fiskal dan ketelusan perbelanjaan. Pembaziran perlu dikurangkan, projek kurang mendesak perlu dinilai semula, ketirisan perlu ditutup dan audit subsidi bersasar mesti diperkukuh.

Kesimpulannya, persoalan sebenar bukanlah “apa salah T20”, tetapi sama ada dasar kerajaan benar-benar adil, telus dan lestari untuk semua. Reformasi subsidi memang perlu, tetapi ia mesti dibuat dengan definisi yang lebih tepat, proses yang telus dan disiplin fiskal yang meyakinkan.

Jika tidak, penyasaran subsidi hanya akan dilihat sebagai jalan mudah untuk memerah kumpulan yang jelas dalam sistem, sedangkan masalah sebenar seperti ketirisan, kelemahan tadbir urus dan pembaziran terus berulang.

*** Dr Mukhtaruddin Musa ialah Ketua Penyelidik (Governans & Polisi) Yayasan Strategik Lestari