
Aleix Espargaro akhirnya membuka cerita mengenai salah satu detik paling kontroversi dalam kariernya di MotoGP, dengan mengakui insiden menampar Franco Morbidelli pada Grand Prix Qatar 2023 sebagai antara kesilapan terbesar dalam hidupnya.
Insiden tersebut berlaku ketika sesi latihan bebas kedua (FP2) di Litar Antarabangsa Lusail, apabila Espargaro hilang sabar selepas merasakan dirinya dihalang oleh Morbidelli ketika berada di atas trek. Dalam keadaan emosi memuncak, pelumba Sepanyol itu menghampiri Morbidelli dan bertindak menampar bahagian helmet pelumba Itali tersebut ketika pusingan cooldown.
Tindakan itu mencetuskan perdebatan hangat dalam paddock MotoGP, malah Espargaro dikenakan penalti kehilangan enam petak grid serta denda sebanyak €10,000 susulan insiden berkenaan.
Kini selepas beberapa tahun berlalu, Espargaro mengakui bahawa tindakan tersebut merupakan sesuatu yang amat dikesalinya.
Bercakap menerusi saluran YouTube CAFE DE FINCA, Espargaro tidak cuba mempertahankan tindakannya dan menganggap insiden bersama Morbidelli sebagai salah satu kesilapan terbesar sepanjang kariernya.
“Salah satu kesilapan terbesar dalam hidup saya adalah menjerit kepada pasukan Aprilia di hadapan kamera atau menampar Morbidelli – sesuatu yang saya sangat kesali,” kata Espargaro.
Bagaimanapun, pelumba yang kini berperanan sebagai pelumba ujian Honda itu menegaskan bahawa dirinya sentiasa cuba membantu rakan sepasukan dan mereka yang berada di sekelilingnya.
“Apabila rakan sepasukan mengalami kecederaan, saya sentiasa berada di sana untuk membantu dengan apa cara sekalipun. Saya seorang yang mudah didekati dan jujur, tetapi sifat itu juga boleh menjadi baik dan buruk pada masa yang sama.”
Menurut Espargaro, tekanan ketika berada di atas jentera MotoGP boleh menyebabkan pelumba bertindak di luar kawalan kerana emosi berada pada tahap maksimum.
“Ramai orang melihat dari sofa dan berkata, ‘Apa yang dia buat?’ Mereka membuatkan anda nampak seperti orang bodoh. Tetapi mereka perlu ingat, ketika itu anda berada dalam keadaan panas, degupan jantung sangat tinggi dan anda tidak benar-benar berfikir dengan jelas.”
Espargaro turut mengakui bahawa bantuan psikologi boleh memainkan peranan penting untuk membantu pelumba mengawal emosi ketika berada dalam situasi tekanan tinggi.
“Sebab itu penting ketika masih muda untuk bekerja dengan ahli psikologi yang boleh membantu menguruskan detik-detik tekanan. Saya sendiri tidak cukup melakukannya dan saya benar-benar menyesal.”
Lebih menyentuh hati apabila Espargaro mendedahkan bahawa insiden itu turut memberi kesan kepadanya apabila anaknya sendiri bertanyakan mengenai kejadian tersebut.
“Saya melihat semula rakaman insiden itu beberapa tahun lalu apabila ia dimainkan semula dalam MotoGP. Anak saya Max bertanya, ‘Kenapa ayah tampar dia?’ Saya benar-benar terkesan. Saya tidak tahu apa yang perlu saya katakan kepadanya.”
Hubungan antara Espargaro dan Morbidelli sememangnya sering menjadi perhatian sejak insiden Qatar tersebut. Ketegangan antara kedua-duanya kembali tercetus dalam beberapa perlumbaan selepas itu, termasuk kemalangan di Silverstone yang menyaksikan Morbidelli mendakwa Espargaro mempunyai masalah peribadi terhadapnya.
Namun, pengakuan terbuka Espargaro menunjukkan sisi lain seorang pelumba profesional yang sanggup mengakui kesilapan. Baginya, satu tindakan dalam keadaan emosi boleh meninggalkan kesan yang panjang terhadap reputasi dan legasi seseorang pelumba.
The post Menampar Morbidelli Jadi Penyesalan Terbesar Dalam Karier Aleix Espargaro appeared first on TW Media.


