
KUALA LUMPUR – Menara Asia Sdn. Bhd. hari ini melancarkan Menarabena, iaitu platform perniagaan-ke-perniagaan digital yang direka untuk meningkatkan akses kepada bahan binaan, memudahkan proses perolehan serta menghubungkan pemain industri dengan pasaran tempatan dan antarabangsa.
Platform berkenaan mengintegrasikan keupayaan digital bagi perolehan, pemasaran produk, penyelarasan penghantaran dan penjejakan pesanan untuk membantu kontraktor, pengilang dan pembekal mendapatkan maklumat produk, memperluas pilihan sumber bekalan serta meningkatkan keterlihatan rantaian bekalan.
Pengerusi Eksekutif Menara Asia, Datuk Seri Saiful Nizam Mohd. Yusoff berkata, Menarabena bukan sekadar sebuah pasaran digital, sebaliknya pihaknya mahu membantu pemain industri membuat keputusan perolehan lebih baik dengan mempertimbangkan bukan sahaja harga, malah kualiti produk, keperluan teknikal, maklumat pembekal dan keterlihatan penghantaran.
“Platform ini terbuka kepada seluruh industri pembinaan, merangkumi kontraktor G1 hingga G7, pengilang, pembekal dan pemaju. la direka untuk mewujudkan peluang perniagaan tambahan serta memperkukuh rantaian bekalan sedia ada, bukannya menggantikan pembekal tempatan.
“Visi kami merangkumi dua hala, iaitu memudahkan akses kepada produk dan teknologi antarabangsa yang bersesuaian untuk Malaysia di samping membantu pengilang dan pembekal Malaysia menjangkau pasaran yang lebih luas.
“Keupayaan platform ini tersedia sejak pelancarannya dan akan terus dipertingkatkan berdasarkan keperluan industri serta maklum balas pengguna,” katanya pada majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Menara Asia dimiliki sebanyak 51 peratus oleh Menara Rezeki, sebuah kontraktor Bumiputera bertaraf G7 CIDB yang terlibat dalam projek hartanah berprofil tinggi di Kuala Lumpur.
Baki 49 peratus kepentingan pula dipegang oleh Mexajati Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Sarawak.
Bersama-sama dengan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Sarawak, Mexajati menyasarkan untuk melaksanakan peluasan Menarabena di Malaysia Timur, bermula dengan Sarawak pada penghujung bulan ini sebelum ke Sabah yang dijadualkan pada hujung tahun. – KOSMO! ONLINE
The post Menarabena transformasi proses perolehan bahan binaan appeared first on Kosmo Online.




