
Apa sebenarnya berlaku di Sungai Cot,Maran, Pahang baru-baru ini. Banyak versi yang mengatakan itu dan ini tetapi yang pasti tiada siapa pun mengenali Juliana Jaslin Ismail sebelum ini sehinggalah dia bangkit memperjuangkan apa yang didakwa sebagai haknya.
Dia tegas itu adalah hak tanah adat milik Orang Asli di situ, namun ada dakwaan tanah tersebut belum diwartakan demikian.
Figura ini sedang memperjuangkan apa yang didakwanya sebagai hak dan itu satu simbol perjuangan.
Persoalannya, yang mana satu betul kerana media sosial sudah menjadi mahkamah untuk membuat tuntutan dan tentunya sukar menjangka siapa pemenang.
Dalam pada kita tabik dengan semangat Orang Asli tersebut, jangan pula ada pihak menangguk di air keruh atas niat tertentu.
Menuntut sesuatu yang kita dakwa milik kita tidak ada salahnya, namun yang salah, perbuatan pihak tertentu yang asyik mahu menyalahkan mana-mana pihak termasuklah antaranya pihak berkuasa.
Sementara kita ingin menuntut hak, undang undang jangan diketepikan dan media sosial bukanlah mahkamah untuk membina persepsi dan sentimen sebagai soal pokok perbicaraan.
Kita mengikuti perkembangan isu Sungai Cot berdasarkan apa yang dilakukan Juliana, yang merupakan Orang Asli dan seperti mana yang dilaporkan, setakat itulah maklumat yang kita ada.
Isu orang Asli di negara ini dan di mana-mana negara suatu yang sensitif kerana mereka masyarakat pribumi dan tidak wajar dipinggirkan.
Siapakah Orang Asli? Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Perkara 160 (2) Orang Asli ditakrifkan sebagai masyarakat Orang Asli yang berasal dari Semenanjung Malaysia.
Masyarakat Orang Asli mempunyai bahasa, budaya dan gaya hidup yang unik. Mereka memiliki sejarah dan budaya hidup yang diwarisi turun temurun.
Berdasarkan statistik Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) 2024 , jumlah Orang Asli di negara ini adalah 221,098 orang daripada tiga etnik Orang Asli. Daripada jumlah tersebut seramai 120,240 adalah Senoi. Senoi merupakan satu daripada tiga etnik tersebut selain Melayu Proto dan Negrito.
Selain itu terdapat etnik Negrito seramai 7,156 dan Melayu Proto (93,702). Daripada ketiga-tiga etnik tersebut ia dipecahkan pula kepada beberapa subetnik.
Melayu Proto terbahagi kepada subetnik Jakun, Melayu Kanaq, Orang Kuala Orang Seletar, Semelai dan Temuan.
Etnik Negrito pula terbahagi kepada subetnik Bateq, Jahai, Kensiu, Kintaq Lanoh dan Mendriq manakala Senoi terbahagi kepada Che Jahut, Mahmeri, Semai, Semoq Beri dan Temiar.
Berdasarkan satu lagi statistik yang saya terima, jumlah orang Asli dikatakan 227, 900 pada tahun lalu dan menunjukkan peningkatan berbanding 2010 seramai 161,494 dengan kadar purata pertumbuhan penduduk 1.2 peratus tahun lalu. Berapa pun jumlahnya, yang penting mereka tetap Orang Asli.
Bermakna Orang Asli dan kehidupannya merupakan sebahagian daripada komuniti Malaysia.
Namun apabila berlaku dakwaan seperti di Sungai Cot, ini dibimbangi menjadi trigger factor orang luar menyalahkan kerajaan.
Mungkin ada kalangan kita yang masih ingat isu kaum Penan di Sarawak. Muncul watak-watak pejuang yang membangkitkan isu ini namun kerajaan yang dipersalahkan.
Apa yang dilakukan oleh Juliana ini merupakan manifestasi kebimbangan dan sifat pejuang memang begitu.
Mendakwa isu memperjuangan tanah Orang Asli sebagai retorik pun tidak adil kerana kebimbangan mereka berasas, bagi masyarakat tersebut tanah adalah persoalan hak untuk hidup dan mati.
Signifikannya, kita baru sahaja menyambut Hari Tanah Negara (HTN) 2026 bertemakan Tanah Kita, Tanggungjawab Kita.
Berdasarkan sejarah, adat budaya, kepercayaan, sumber makanan, ubatan, hinggalah kepada pengetahuan dan pandangan dunia sebagai Orang Asli yang unik dan berbeza daripada kaum-kaum lain dalam negara ini.
Bagi seorang peguam Asmani Williams-Hunt atau dikenali sebagai Bah Tony daripada Orang Asli suku kaum Semai Perak, tanah merupakan perkara mustahak disebabkan tanah bukan sahaja sumber ekonomi tapi ada kaitan dengan segala aspek kehidupan sejarah, identiti, budaya, spiritual dan sebagainya.
Malahan, tanah itu ada kaitan dengan kepribumian Orang Asli di Malaysia.
“Kalau tanah adat Orang Asli diiktiraf dan terus dilupuskan ke pihak lain, ini akan memusnahkan segala kepentingan tanah dalam kehidupan Orang Asli, ,” ujarnya yang merupakan Orang Asli suku kaum Semai Perak dan berkhidmat sebagai peguambela dan peguamcara berkaitan kes-kes tanah Orang Asli.
Untuk berlaku adil, langkah yang sepatutnya diambil adalah masyarakat Orang Asli perlu terus didekati supaya touch point terhadap mereka sentiasa ada, bukannya dipinggir daripada arus pembangunan, apatah lagi sekiranya ada unsur-unsur penganiayaan dan pengabaian nasib mereka.
Saya lebih bersetuju kenyataan peguam yang juga Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia, Rajesh Nagarajan bahawa bagi Orang Asli, tanah bukan aset komersial yang boleh diganti dengan pampasan.
Katanya kepada saya, tanah adalah tempat mereka memburu, bercucuk tanam, mendapatkan sumber air, mengamalkan adat, mengebumikan nenek moyang dan mewariskan budaya kepada generasi akan datang.
Maka kata Rajesh , kerajaan mesti berhenti melihat isu tanah Orang Asli sebagai pertikaian tanah sebagai pentadbiran biasa, sebaliknya isu hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.
Beliau turut mengesyorkan supaya semua aktiviti pembalakan, perladangan atau pembangunan di kawasan yang menjadi pertikaian dihentikan, sehingga status tanah diputuskan secara sah.
Kedua, kerajaan-kerajaan negeri mesti berhenti menjual atau melupuskan tanah yang mereka sendiri ketahui diduduki oleh komuniti Orang Asli.
“Masalah pencerobohan tanah Orang Asli sangat meluas. Pencerobohan oleh pemaju ke atas tanah Orang Asli berlaku secara berterusan di seluruh negara, dan ia mesti dihentikan,” dakwanya.
Kata beliau, ini menunjukkan bahawa masalah sebenar adalah kegagalan sistem untuk mengiktiraf dan melindungi hak tanah Orang Asli secara menyeluruh.
Beliau mendakwa ramai komuniti Orang Asli telah lama menyuarakan rasa hilang keyakinan terhadap JAKOA kerana badan itu dilihat gagal bertindak sebagai pelindung hak mereka apabila berlaku pertikaian tanah.
“Saya berpendapat sudah tiba masanya Malaysia menubuhkan sebuah Suruhanjaya Orang Asli yang benar-benar bebas, diberi kuasa oleh Parlimen, dan majoriti ahlinya terdiri daripada wakil
Orang Asli sendiri. Badan seperti inilah yang sepatutnya menerima aduan, menjalankan siasatan, memantau pelaksanaan hak tanah dan memastikan suara masyarakat Orang Asli didengar tanpa campur tangan politik atau pentadbiran.
“Selagi masyarakat Orang Asli tidak mempunyai sebuah institusi yang benar-benar bebas untuk mempertahankan hak mereka, mereka akan terus bergantung kepada mahkamah sebagai benteng terakhir keadilan,” ujarnya.
Seperti kata beliau sebelum ini masyarakat Orang Asli tidak seharusnya dipaksa memilih antara pembangunan dengan kehilangan tanah adat yang menjadi sumber kehidupan mereka. Sebarang penyelesaian perlu mengambil kira pandangan, kepentingan serta hak masyarakat yang terkesan.
Akhirnya pada saya, jangan ada yang menangguk di air keruh , selagi isu ditangani menurut peruntukan undang undang sedia ada, maka hormati peruntukan tersebut.
Dalam pada kita bersimpati dengan nasib golongan tertentu, perlu juga kita berlaku adil kepada semua pihak, baik pihak yang menuntut hak, kerajaan, pemaju atau sesiapa juga yang terlibat supaya tidak ada pihak yang akan dipersalahkan kemudian hari dan menuduh generasi hari ini sebagai tidak bertanggungjawab.-UTUSAN
The post Menarik rambut daripada tepung, bukan menangguk di air keruh appeared first on Utusan Malaysia.






