
KEMENTERIAN Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri telah memulakan pelbagai usaha termasuk mengguna pakai strategi lonjakan untuk memacu pembangunan sektor perindustrian dan keusahawanan Sabah.
Menterinya Phoong Jin Zhe berkata strategi lonjakan adalah penting untuk meletakkan Sabah sebagai negeri perindustrian, dengan menyasarkan industri berimpak tinggi dan teknologi hijau, antara lain, yang dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan berkemahiran tinggi.
Beliau berkata lebih 2,500 peluang pekerjaan telah diwujudkan melalui pelaburan dalam kilang pembuatan kerajang tembaga oleh SK Nexilis (M) Sdn Bhd Korea Selatan dan kilang pembuatan kaca solar oleh Kumpulan Kibing China.
“Kedua-dua fasiliti yang sedang dibangunkan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) itu akan mula beroperasi pada suku keempat tahun ini. Selain itu, Kementerian telah berkoordinasi dengan kedua-dua pelabur untuk menghantar lebih 135 jurutera tempatan ke Korea Selatan dan China untuk latihan kemahiran dan menimba ilmu teknologi tinggi,” katanya ketika menyampaikan kad laporan 100 hari di pejabatnya di Wisma Kewangan, Kota Kinabalu. Phoong, yang juga Adun Luyang, menerajui Kementerian pada 11 Jan.
SPONSORED CONTENT Shell’s Access to Energy helps power lives of isolated communities in Sabah Kota Kinabalu: In 2017, Sabah Shell Petroleum Co Ltd (SSPC) launched Access to Energy (A2E), a Shell Social Investment programme aimed at providing affordable and continuous supply of electricity from renewable sources for communities who live without connection to the electricity grid. Read more Beliau memberi jaminan akan mengadakan mesyuarat berterusan dengan SK Nexilis dan Kumpulan Kibing bagi memastikan kejayaan projek itu, sambil menambah beliau menggalakkan kedua-dua pelabur bagi memastikan 80 peratus peluang pekerjaan diberikan kepada rakyat Sabah.
Mengenai keperluan infrastruktur di taman perindustrian, Phoong berkata Kabinet telah meluluskan projek jalan raya KKIP bagi mengelak kesesakan, manakala pasukan petugas ditubuhkan untuk mengkaji, merancang dan menarik pelabur untuk membangunkan sistem rel di KKIP dan Kota Kinabalu.
Perkembangan lain termasuk pengisytiharan POIC Lahad Datu sebagai Zon Perdagangan Bebas (FTZ), yang diluluskan secara prinsip oleh Kementerian Kewangan pada Mac.
“Pembangunan FTZ adalah pemangkin yang diperlukan untuk pertumbuhan dalam sektor perindustrian Sabah. POIC Lahad Datu dijangka menarik lebih banyak pelaburan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan melalui FTZ,” katanya.
Phoong juga mempertahankan prinsip profesionalisme dan ketelusan dengan mengamalkan dasar Kerajaan kepada Kerajaan (G2G) dan Go To Genuine Investor (G2GI) untuk menarik lebih banyak pelaburan tulen dan mengurangkan budaya orang tengah.
Selain itu, katanya, Kementerian bersama Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (Seac) mengambil inisiatif untuk meneroka potensi kerjasama ekonomi dengan kerajaan wilayah Jilin di China dan membuat lawatan ke sana pada Februari 2023.
“Dianggarkan seramai 31 anggota delegasi kerajaan wilayah Jilin terdiri daripada pegawai kerajaan dan industri akan membuat lawatan balas ke Sabah pada 12 hingga 14 April ini bagi membincangkan kerjasama lanjut dalam pelbagai sektor ekonomi termasuk sektor perindustrian.
“Selain Wilayah Jilin, China, saya juga telah menjawab jemputan melawat Taman Perindustrian Malaysia-China di Kuantan (MCKIP), projek antara Kerajaan Guangxi, China dan Kerajaan Pahang,” katanya.
Beliau berkata kerjasama itu mewujudkan perdagangan dan pelaburan ‘point-to-point’ yang saling menguntungkan bagi kedua-dua kerajaan, sambil menambah, beliau telah berbincang dengan pegawai China untuk meneroka potensi mewujudkan taman perindustrian serupa di Sabah.
Phoong berkata Kementerian sentiasa komited terhadap pembangunan usahawan dan menjenamakan semula Kementerian dengan menambah perkataan “Keusahawanan” pada namanya.
“Penjenamaan semula ini penting dan selari dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) di bawah kepimpinan Datuk Ewon Benedick.
“Kementerian saya juga berjaya mendapat mandat dan peruntukan yang lebih besar dalam menguruskan hal ehwal keusahawanan, selaras dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini,” katanya.
Beliau menambah ia selaras dengan aspirasinya untuk membangunkan keusahawanan Sabah, di mana 98 peratus daripadanya terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang hanya memfokuskan kepada pasaran tempatan.
“Hanya dua peratus dieksport ke Semenanjung Malaysia dan pasaran antarabangsa. Defisit perdagangan ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kos sara hidup rakyat Sabah yang lebih tinggi berbanding mereka yang tinggal di semenanjung,” katanya.
Oleh itu, bagi mengurangkan pergantungan kepada produk import, Phoong berkata Kementeriannya dan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) menubuhkan tujuh Pusat Produk PKS.
Ia terdapat di Wisma Tun Fuad Stephens, Beaufort, Ranau, Papar, Tuaran, Pasaraya Oceanus dan Kota Marudu, manakala tiga lagi akan ditubuhkan tidak lama lagi di Lahad Datu, Tawau dan Penampang.
Phoong menambah sebuah Pusat Produk PKS juga ditubuhkan di semenanjung, yang digelar “Authentic Sabah Mart”, terletak di GM Klang Wholesale City, Selangor.
Beliau berkata, Kementerian juga mengambil inisiatif bagi menambah peruntukan untuk beberapa program keusahawanan seperti program PKS-UP daripada RM10 juta kepada RM15 juta.
“Saya juga sedang mewujudkan Skim Penjenamaan Semula, Reka Bentuk dan Pembungkusan, dan akan memperkenalkan Sabah Authentic Hologram. Saya juga menubuhkan tabung keusahawanan iaitu Sabah Entrepreneurship Aspiration Fund (SEAF) yang mana RM1 juta telah diluluskan.
Saya juga sedang menunggu kelulusan Kuskop untuk geran sepadan sebanyak RM1 juta lagi untuk membantu program dan aktiviti keusahawanan.
“Tujuan tabung khas ini adalah untuk usahawan menjalankan program upscaling, pertandingan pitching dan juga untuk membantu mewujudkan kebolehan mengeksport,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.



