DALAM politik moden, kekuatan sesebuah gabungan tidak lagi ditentukan semata-mata oleh jumlah kerusi yang dimenangi atau keupayaan menggerakkan jentera parti.
Sebaliknya, rakyat semakin menilai sesebuah gabungan berdasarkan kualiti kepimpinannya, keupayaan mengurus ekonomi, kemampuan menawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat serta kebolehan membina keyakinan terhadap masa depan negara.
Dalam konteks ini, Perikatan Nasional (PN) memerlukan seorang pemimpin yang bukan sahaja mampu mengekalkan sokongan penyokong sedia ada, malah berupaya menarik keyakinan pengundi baharu yang semakin menuntut kepimpinan berasaskan kompetensi dan prestasi.
Atas pertimbangan tersebut, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar muncul sebagai tokoh yang paling berpotensi untuk menjadi wajah masa depan PN.
Beliau mempunyai kombinasi yang jarang dimiliki oleh pemimpin politik lain, iaitu pengalaman pentadbiran kerajaan, kredibiliti ekonomi, pendekatan teknokratik dan kebolehterimaan yang semakin meluas dalam kalangan rakyat.
Landskap politik negara kini sedang berubah dengan pantas. Generasi muda, golongan profesional dan kelas pertengahan bandar semakin menjadikan isu ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan dan tadbir urus sebagai pertimbangan utama dalam membuat pilihan politik.
Mereka kurang terikat dengan sentimen kepartian tradisional dan lebih cenderung menilai seseorang pemimpin berdasarkan keupayaannya mentadbir.
Dalam keadaan ini, PN memerlukan seorang pemimpin yang mampu meyakinkan bukan sahaja penyokong tegar gabungan, tetapi juga pengundi atas pagar yang sering menjadi penentu kemenangan dalam pilihan raya.
Sebagai Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri telah menunjukkan bahawa pendekatan teknokratik boleh digabungkan dengan kepimpinan politik yang berkesan.
Latar belakang beliau sebagai ahli akademik menjadikan pendekatan pentadbirannya lebih sistematik, berasaskan data dan memberi penekanan kepada keberkesanan pelaksanaan.
Dalam era yang semakin kompleks, negara memerlukan pemimpin yang bukan sahaja mampu berpidato, tetapi juga memahami bagaimana dasar diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat kepada rakyat.
Dari sudut ekonomi, Dr Ahmad Samsuri turut membawa imej seorang pemimpin yang memahami cabaran dan peluang ekonomi masa hadapan.
Di bawah pentadbirannya, Terengganu memberi tumpuan kepada pembangunan sektor tenaga, industri maritim, ekonomi digital dan pembangunan modal insan.
Fokus terhadap sektor-sektor strategik ini menunjukkan pemikiran jangka panjang yang diperlukan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Dalam keadaan ekonomi global yang semakin mencabar, keupayaan memahami isu pelaburan, teknologi dan pembangunan industri menjadi nilai tambah yang sangat penting bagi seorang pemimpin nasional.
Selain rekod pentadbiran dan pengurusan ekonomi, Dr Ahmad Samsuri turut menunjukkan satu kelebihan yang semakin penting dalam dunia hari ini, iaitu kebolehterimaan di peringkat antarabangsa.
Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, beliau telah menerima dan mengadakan beberapa pertemuan penting dengan tokoh serta wakil diplomatik asing.
Pada awal Mei 2026, beliau menerima kunjungan Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong yang mengadakan lawatan ke Terengganu dan bertemu beliau dalam kapasiti sebagai Menteri Besar.
Dalam tempoh yang sama, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke serta Duta Perancis ke Malaysia, Marc Abensour.
Sebelum itu, beliau juga menerima kunjungan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia dan beberapa wakil diplomatik lain yang membincangkan peluang kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan dan pembangunan strategik.
Pertemuan-pertemuan ini bukan sekadar memenuhi protokol diplomatik.
Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa Dr. Ahmad Samsuri mempunyai keupayaan untuk berinteraksi secara profesional, tenang dan pragmatik dengan pemimpin serta wakil negara asing.
Dalam konteks politik nasional, kebolehterimaan antarabangsa merupakan satu kelebihan yang penting kerana ia mencerminkan keyakinan pihak luar terhadap kredibiliti dan potensi kepimpinan seseorang tokoh.
Lebih penting, perkembangan ini membantu memecahkan stereotaip bahawa kepimpinan Pas hanya sesuai beroperasi dalam ruang politik domestik atau di negeri-negeri majoriti Melayu-Islam.
Sebaliknya, Dr. Ahmad Samsuri membuktikan bahawa seorang pemimpin daripada Pas juga mampu membina hubungan yang baik dengan komuniti antarabangsa, memahami tuntutan ekonomi global dan berinteraksi dengan pelbagai pihak merentasi sempadan.
Keupayaan ini penting bagi meningkatkan keyakinan bahawa PN mempunyai barisan kepimpinan yang bersedia mentadbir negara dalam persekitaran global yang semakin mencabar.
Dalam masa yang sama, Pas mempunyai kedudukan yang unik dalam PN.
Dari sudut organisasi, Pas merupakan parti yang paling stabil, mempunyai akar umbi yang kukuh dan jentera yang tersusun di seluruh negara.
Dalam beberapa pilihan raya kebelakangan ini, Pas juga muncul sebagai komponen terbesar dalam gabungan tersebut.
Oleh itu, adalah wajar sekiranya Pas memainkan peranan yang lebih besar dalam menentukan hala tuju masa depan PN.
Namun, kepimpinan Pas dalam PN tidak harus dilihat sebagai usaha mendominasi rakan gabungan.
Sebaliknya, ia perlu difahami sebagai usaha memastikan gabungan dipimpin oleh parti yang mempunyai kestabilan organisasi dan disiplin politik yang tinggi.
Dalam konteks ini, Dr Ahmad Samsuri menawarkan gabungan terbaik antara kekuatan institusi Pas dan keperluan untuk menampilkan wajah kepimpinan nasional yang lebih inklusif serta meyakinkan.
PN juga perlu menerima hakikat bahawa setiap organisasi politik memerlukan proses pembaharuan dan peralihan generasi kepimpinan yang terancang.
Sumbangan Muhyiddin Yassin dalam membentuk dan mengukuhkan PN sememangnya besar dan akan terus dihargai.
Namun, cabaran masa depan memerlukan pendekatan baharu serta tokoh yang mampu menarik sokongan generasi pengundi yang semakin berubah.
Jika matlamat PN adalah untuk muncul sebagai alternatif kerajaan yang diyakini rakyat, maka keutamaan perlu diberikan kepada tokoh yang mempunyai kombinasi kredibiliti ekonomi, kemampuan pentadbiran, penerimaan rakyat dan kebolehterimaan antarabangsa.
Berdasarkan perkembangan semasa, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mempunyai semua elemen tersebut.
Beliau bukan sahaja berpotensi menjadi pemimpin masa depan PN, malah merupakan aset strategik yang mampu membawa gabungan itu melangkah ke tahap yang lebih tinggi dalam persaingan politik nasional.
*Profesor Ir Dr Hairul Azhar Abdul Rashid ialah Rektor di UC TATI





