“MINGGU lepas diesel naik harga, ni diesel naik lagi,” keluh jiran penulis yang memiliki pikap Toyota Hilux varian 2.4E ketika berbual beberapa hari lalu.
Ungkapan ini semakin kerap kedengaran berikutan konflik di Asia Barat yang tidak menunjukkan tanda akan reda, ditambah keluhan di laman sosial dengan foto sedang mengisi bahan api di samping kenderaan masing-masing.
Untuk meredakan suasana, penulis yang menggunakan kenderaan bahan api petrol RON95 berseloroh mengatakan kuota subsidi petrol Budi Madani sudah dikurangkan 100 liter sebulan.
Jadi situasi dihadapi hampir sama, tambahan pula pengumuman kenaikan bantuan tunai Budi Madani Diesel kepada RM400 sebulan untuk pemilik kenderaan persendirian bermula bulan depan secara spontan mengukir 'senyuman kelat' pada wajahnya.
Sebagai contoh, setangki penuh Hilux adalah 70 liter manakala penulis yang memandu sedan jenama tempatan adalah 50 liter.
Dengan mengambil kira kos bahan api untuk setangki penuh bagi kedua-dua kenderaan, pemilik Hilux perlu membayar RM470.40 (RM6.72 seliter) untuk memenuhkan tangki 70 liter manakala penulis pula RM99.50 (RM1.99 seliter) bagi kapasiti 50 liter.
Daripada pengiraan ini, kita dapat melihat perbezaan RM370.90 untuk isian penuh kedua-dua tangki. Tetapi, penulis sudah menggunakan kuota 50 liter daripada Budi Madani yang ada sedangkan jiran tidak menggunakan bantuan tunai diterimanya.
Sekiranya tanpa Budi Madani, penulis terpaksa membayar RM213.50 (RM4.27 seliter) untuk isian penuh 50 liter petrol. Tanpa menggunakan subsidi dan jika kuantiti tangki adalah sama 70 liter, jumlah dibayar penulis adalah RM298.70, perbezaannya adalah RM171.50 dan harga diesel masih dianggap 'mencekik'.
Tidak hairanlah kenapa jiran penulis mula menyimpan Hilux berharga RM120,000 yang kini fizikalnya sudah dinaik taraf versi GR Sport dengan modal lebih RM50,000 termasuk dipadankan tayar berprofil rendah bersama rim bersaiz 20 inci.
Bagi mereka yang gemar mengikuti bidang automotif semasa, enjin diesel moden tidak lagi seperti enjin diesel generasi lama yang kuat makan minyak, bising, mengeluarkan asap hitam dan kos penyelenggaraan yang tinggi.
Enjin diesel kini lebih senyap, cekap bahan api dan mesra alam selain paling berkuasa serta lasak berbanding enjin petrol. Kebanyakan kenderaan pikap moden ketika ini mampu mengharungi jarak perjalanan sehingga 1,000 kilometer (km) hanya dengan setangki penuh bahan api.
Tidak hairanlah harga diesel mudah meningkat mendadak kerana bukan sahaja digunakan untuk kenderaan persendirian tetapi turut berkongsi bersama kenderaan berat lain seperti lori, penggerak utama, kren dan sebagainya. Lagi tinggi gred bahan api diesel, sudah pasti lagi mahal harganya.
Bermula 16 April, Kementerian Kewangan (MoF) menetapkan harga baharu diesel di Semenanjung pada kadar RM5.97 seliter berkuatkuasa sehingga 22 April.
Penetapan kadar baharu ini menyaksikan harga diesel mengalami penurunan 75 sen, berbanding RM6.72 seliter ketika artikel ini ditulis.
MoF juga memaklumkan, harga RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing diturunkan 25 sen bagi tempoh sama. Sedikit kelegaan kepada rakyat jelata. Yang pasti, penulis akan tetap menggunakan jentera dua roda berulang alik ke tempat kerja sejauh hampir 100km manakala jiran pula semakin kerap memandu Toyota Vios GR yang juga kenderaan keduanya atau menunggang Yamaha RX-Z untuk beriadah pada hujung minggu.
Mungkin ketidakstabilan harga bahan api dunia ini membuka ruang lebih luas kepada lonjakan jualan Kenderaan Elektrik (EV) selepas ini. Ya, mungkin.
*Mohd Razlan Salleh ialah Sub Editor Sinar Harian



