
KUALA LUMPUR: Kejohanan Dunia di New Delhi, India yang membuka tirainya hari ini, bukan sekadar medan memburu pingat buat skuad badminton negara.
Sebaliknya, pentas itu menjadi ujian penting kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menilai sama ada rombakan sepanjang musim benar-benar menghasilkan pemain yang mampu bersaing di pentas tertinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, keputusan semata-mata tidak boleh dijadikan ukuran kerana aspek semangat juang serta kemampuan pemain menghadapi lawan berkelas dunia turut perlu dinilai.
“Kita tidak akan buang pemain hanya kerana satu keputusan, sebaliknya kita perlu lihat prestasi keseluruhan, bagaimana mereka bermain dan juga semangat juang mereka.
“Kalau kita hantar pemain berdepan nombor satu dunia dan dia berjuang habis-habisan hingga set ketiga tetapi tewas, kita kena terima, tetapi kalau kalah straight set tanpa memberikan tentangan, kita tidak boleh terima,” katanya.
Pendekatan itu dilihat penting ketika BAM sendiri sedang melalui fasa penilaian selepas beberapa kombinasi beregu lelaki diuji dalam empat kejohanan Jelajah Dunia sebelum kembali kepada pasangan asal untuk Kejohanan Dunia.
Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta Wan Arif Junaidi-Yap Roy King kini kembali bergandingan, manakala Chong Wei mengakui proses berkenaan akhirnya perlu menentukan kombinasi terbaik sebagai persiapan menuju kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.
Bagi perseorangan lelaki, Chong Wei tidak berselindung mengenai kedudukan Leong Jun Hao dan Justin Hoh yang masih belum berada pada tahap untuk disasarkan sebagai calon juara, namun kedua-duanya tetap dituntut menunjukkan kemampuan maksimum.
“Kalau tanya saya, kita mahu mereka menjadi juara, tetapi tahap mereka belum sampai ke situ, jadi kita mahu lihat mereka bermain pada tahap maksimum dan berikan segala-galanya walaupun tewas,” katanya.-UTUSAN
The post Kejohanan Dunia ujian sebenar BAM appeared first on Utusan Malaysia.






