
BOGOTA – Menteri Perumahan yang baharu, Jaime Andres Beltran dikecam hebat susulan pendedahan beliau membawa keluarganya bercuti di rantau Caribbean ketika Colombia bergelut dengan gempa bumi yang mencetuskan kemusnahan besar dan mengakibatkan beribu-ribu orang hilang tempat tinggal.
Gempa bumi pada 10 Ogos lalu yang mengorbankan hampir 300 orang di barat Colombia, berlaku hanya tiga hari selepas Presiden berhaluan kanan, Abelardo de la Espriella memegang jawatan.
Gegaran 7.4 magnitud itu merupakan yang paling kuat di Colombia dalam tempoh hampir separuh abad.
Hujung minggu lalu, foto dan klip video tular menunjukkan Beltran sedang bersantai di sebuah pantai di bandar Santa Marta, rantau Caribbean.
Pembangkang menyatakan, mereka akan mengemukakan usul tidak percaya terhadap menteri berkenaan kerana bercuti pada waktu yang begitu kritikal.
Hampir 27,000 rumah musnah dalam gempa bumi itu dengan ramai mangsa terselamat kini tidur di kawasan lapang, di atas tilam atau katil dibina sendiri.
Menteri berkenaan semalam cuba menolak kritikan terhadap percutiannya dengan menulis di platform X bahawa beliau ‘bukan bercuti’ tetapi sekadar ‘meluangkan masa beberapa jam bersama isteri dan anak-anak yang tidak ditemukan selama beberapa hari’ dan ‘serta-merta’ menyambung semula ‘kerja pembinaan semula’ pasca gempa bumi. – AFP
The post Menteri dikecam bercuti di pantai ketika rakyat menderita gempa bumi appeared first on Kosmo Digital.



