
KUNAK: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengingatkan pihak kontraktor agar pembinaan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Kunak Jaya yang bernilai RM24.29 juta dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, setakat ini kemajuan fizikal projek itu telah mencapai 18 peratus.
Beliau berharap prestasi kerja sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan projek dapat disiapkan seperti dijadualkan mengikut spesifikasi, kualiti dan kos yang telah ditetapkan.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Apa yang kita harapkan bangunan tambahan baharu SK Kunak Jaya ini disiapkan mendahului jadual atau Ahead Of Time (AOT). Kita berharap secara umum mana-mana projek di Sabah ini terutamanya, hendaklah dipastikan projek itu disiapkan tepat pada jadual atau mendahului jadual,” katanya ketika ditemui semasa tinjauan kemajuan projek pembinaan itu pada Rabu.
Pelaksanaan projek bangunan baharu 12 bilik darjah serta lain-lain kemudahan SK Kunak Jaya tersebut bermula 11 Jun 2024 dan dijangka siap sepenuhnya pada 9 November 2026, bersamaan 126 minggu.
Dilaksanakan secara kaedah reka dan bina, antara komponen utama projek termasuk pembinaan 12 bilik darjah baharu, blok pentadbiran, bilik sains, bilik khas, bengkel, makmal komputer, surau, kantin, serta kemudahan mesra OKU dan infrastruktur sokongan.
Jabatan Kerja Raya bertindak sebagai agensi pelaksana dengan pemantauan rapi oleh Pasukan Projek Khas 2, JKR Malaysia.
Katanya, Kementerian yakin apabila siap kelak, bangunan baharu sekolah itu akan memberi manfaat besar kepada rakyat Kunak, terutamanya dalam meningkatkan mutu pembelajaran kepada lebih 500 murid SK Kunak Jaya.
“Kementerian berharap pihak JKR terus memantau rapi kemajuan projek ini dan sentiasa bekerjasama dengan pihak kontraktor supaya ia dapat disiapkan mengikut masa, kos dan kualiti yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad menggesa pihak konsultan dan kontraktor supaya memastikan kecekapan diutamakan dalam kelancaran perjalanan projek, dengan mengambil contoh pelaksanaan projek pembangunan di negara lain seperti China dan India, yang dapat melaksanakan kerja-kerja kejuruteraan dengan berkesan dan pantas.



