
Tidak semua cabaran dalam kerjaya dapat diselesaikan dengan pengalaman dan kemahiran semata-mata.
Ada ketikanya seseorang memerlukan pandangan daripada individu yang lebih berpengalaman untuk membantu melihat peluang, mengenal pasti kelemahan dan membuat keputusan dengan lebih tepat.
Sokongan sedemikian amat bermakna terutama bagi wanita yang perlu mengimbangi tuntutan profesional dengan cabaran kehidupan peribadi.
Pengasas Women Mentoring Network (WMN), Datin Dr. Hasnorliza Abu Hassan berkata, situasi itu menjadikan peranan mentor semakin relevan dalam suasana hari ini.

Katanya, mentor bukan sekadar berkongsi pengalaman, tetapi turut membantu wanita melihat sesuatu cabaran daripada perspektif berbeza.
“Kerjaya selalunya menjadi sebab seseorang mendapatkan mentor, tetapi apabila berbincang, kita dapati cabaran sebenar datang daripada pelbagai aspek kehidupan.
“Antaranya termasuk hubungan dengan pasangan, keluarga dan cara mengurus tekanan.
“Sebab itu mentor perlu memahami seseorang secara menyeluruh, bukan hanya melihat kepada kerjaya mereka semata-mata,” katanya selepas Persidangan WMN 2026 yang bertemakan ‘Wanita
Mendepani Masa Depan: Memacu Pertumbuhan, Inovasi dan Pengaruh’ baru-baru ini.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ADLA Group Sdn. Bhd. berkata, kewujudan mentor diperlukan di setiap fasa perjalanan seseorang, sama ada ketika memulakan kerjaya, perniagaan atau berdepan cabaran baharu.
Ia bukan sahaja membantu dari segi proses atau kemahiran tertentu, malah memberi ruang kepada seseorang mencari arah berdasarkan apa yang telah dilalui.
“Setiap individu datang dengan cabaran berbeza dan melalui mentoring, kita cuba mengenal pasti apa yang diperlukan dan bagaimana untuk membimbing mereka,” katanya.
Kata Hasnorliza, wanita hari ini bertuah kerana memiliki jaringan mentor-mentee yang boleh menjadi tempat rujukan dan berkongsi pandangan.
Berbeza dengan generasi terdahulu yang tidak mempunyai ruang sedemikian, sekali gus menyebabkan ramai wanita terpaksa mengorbankan kerjaya walaupun memiliki pendidikan, jawatan dan kemahiran tinggi.
Pengalaman berdepan situasi itu turut dilaluinya kira-kira 26 tahun lalu apabila memutuskan untuk meninggalkan kerjaya dalam syarikat multinasional (MNC).
Keputusan itu dibuat selepas berdepan cabaran mengimbangi tuntutan pekerjaan dan keluarga ketika bergelar ibu kepada empat anak di usia 32 tahun.
“Pada masa itu, kami tiada kumpulan sokongan atau individu yang boleh dirujuk untuk mendapatkan pandangan.
“Justeru, saya tidak mahu wanita lain berdepan nasib sama dan melalui platfrom WMN kita mahu menyediakan kumpulan sokongan dengan pendekatan lebih menyeluruh melibatkan keseimbangan kehidupan, pembangunan diri serta aspek psikologi individu,” katanya.
Rangka sistem tersusun
Hasnorliza berkata, hubungan mentor-mentee lazimnya terbina secara tidak formal menerusi pengalaman, jaringan dan kepercayaan antara individu.

Dia sendiri mempunyai beberapa mentor di sepanjang perjalanan kerjaya dan perniagaannya.
“Mentoring tidak semestinya perlu berlaku secara formal, kadangkala bimbingan itu boleh datang daripada sesi sembang-sembang atau perbualan santai dengan kawan-kawan.
“Tetapi apa yang kita mahukan sekarang ialah mewujudkan sistem yang lebih tersusun supaya hubungan mentor-mentee ini dapat memberi impak lebih besar,” katanya.
Menerusi sistem baharu yang diperkenalkannya, mentee diberi kebebasan memilih mentor berdasarkan keperluan dan latar belakang masing-masing, sekali gus mewujudkan hubungan yang lebih terbuka serta saling bersetuju.
Hal itu kerana, katanya, hubungan tersebut perlu berlaku secara bersama dan bukan dipaksa.
“Mentee perlu berasa selesa dengan mentor yang dipilih supaya proses bimbingan menjadi lebih berkesan,” katanya.
Jelasnya, program WMN kini mempunyai hampir 300 peserta membabitkan mentor dan mentee selepas sembilan pusingan pelaksanaan.
The post Mentor bantu wanita hadapi cabaran kerjaya, kehidupan appeared first on Utusan Malaysia.



