
ADA ketikanya dalam hidup, seseorang perlu berani melangkah keluar daripada zon selesa untuk mengejar impian yang lebih besar.
Begitu juga penyanyi popular, Shila Amzah yang baru-baru ini berkongsi hasrat untuk berhijrah ke China bagi meneruskan perjalanan kerjaya dan kehidupan bersama keluarga.
Namun, di sebalik keputusan besar itu, ada banyak perkara yang perlu difikirkan. Bukan sekadar soal berpindah negara, tetapi melibatkan kerjaya, pendidikan anak-anak, urusan perniagaan dan kehidupan seharian.
Bagi suaminya, Ubai MZ atau nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, hasrat Shila itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana dia sentiasa melihat isterinya sebagai individu yang mempunyai impian dan hala tuju sendiri.
Katanya, sebagai suami, peranannya adalah memberikan sokongan sambil memastikan segala persiapan dibuat dengan teliti sebelum mereka benar-benar mengambil keputusan untuk menetap di sana.
“Kalau macam nak pindah ke sana, kita kena selesaikan dulu apa yang ada di sini. Contohnya kereta, kena habiskan bayaran. Kerja-kerja di Malaysia pun masih perlu diuruskan sebab saya ada pejabat di Cyberjaya, ada staf dan operasi yang perlu dijaga.
“Jadi banyak perkara yang kena disusun. Shila mungkin boleh fokus untuk cari rumah dan kehidupan di sana, tetapi saya pula masih perlu ulang-alik kerana kerja saya banyak di Malaysia,” katanya.

Menurut Ubai, antara perkara utama yang menjadi perhatian mereka ialah pendidikan anak-anak, terutama anak sulung mereka, Seth yang memerlukan perhatian khas.
Katanya, lokasi kediaman juga perlu dipilih dengan baik supaya sesuai dengan keperluan keluarga termasuk mencari sekolah yang bersesuaian.
“Kalau betul-betul nak menetap di sana, kita kena tahu nak duduk di mana. Sama ada Shanghai, Beijing atau tempat lain yang memudahkan urusan kerja.
“Seth perlukan special treatment, jadi kita kena cari sekolah khas yang sesuai untuk dia. Ria Akira pula mungkin boleh ke sekolah biasa,” ujarnya.
Malaysia masih jadi tempat penting
Walaupun mempunyai perancangan untuk membuka lembaran baharu di China, Ubai menjelaskan kehidupan dan kerjayanya di Malaysia tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja.
Selain menguruskan pejabat dan staf, dia juga mempunyai perniagaan pakaian serta operasi produksi yang masih perlu dipantau.
“Saya baru sahaja tiga tahun buka pejabat. Ada staf, tempat produksi baju, kerja printing dan semua itu perlu disusun.
“Walaupun saya berada di sana nanti, saya masih perlukan orang di Malaysia untuk uruskan beberapa perkara termasuk bahagian kandungan dan pemasaran,” jelasnya.
Dalam masa sama, Ubai turut berkongsi bahawa dia kini sedang melihat peluang perniagaan di China, terutama membantu peniaga kecil Malaysia yang mahu berurusan dengan pasaran negara itu.
Menurutnya, dia bekerjasama dengan seorang rakan yang sudah lama menetap di Guangzhou bagi memudahkan urusan perantaraan antara peniaga Malaysia dan pihak di China.
“Sekarang ramai seller dari China sudah masuk ke platform seperti Instagram dan TikTok. Peniaga kecil kita pula kadang-kadang sukar untuk berurusan terus.
“Jadi kami cuba bantu uruskan perkara seperti tempahan dan hubungan dengan pihak di sana,” katanya.

“Saya bahagia bila Shila bahagia”
Bagi Ubai, keputusan untuk menyokong impian isterinya bukan kerana mengikut semata-mata, tetapi kerana dia memahami perjalanan hidup Shila yang penuh cabaran.
Katanya, selepas melalui pelbagai fasa dalam kerjaya dan kehidupan peribadi, Shila berhak menentukan apa yang terbaik untuk dirinya.
“Saya tahu perjalanan dia macam mana, turun naik kehidupan dia. Jadi sekarang bila dia ada peluang untuk buat sesuatu yang dia suka, saya akan sokong.
“Dia ada saya, keluarga, mak dia dan orang sekeliling yang sentiasa memberikan sokongan moral,” katanya.
Malah, Ubai mengakui dia tidak melihat keputusan itu sebagai satu pengorbanan besar kerana kebahagiaan pasangan menjadi keutamaan.
“Apa yang buat Shila bahagia, saya pun bahagia,” katanya ringkas.
Tidak kisah pandangan orang
Dalam pada itu, Ubai turut menyentuh mengenai persepsi segelintir pihak yang mempersoalkan kerjayanya sebagai suami kepada seorang artis terkenal.
Sebelum ini, ada yang tertanya-tanya mengenai pekerjaannya kerana dia sering berkongsi pelbagai aktiviti termasuk melakukan kerja penghantaran secara sambilan.
Menurut Ubai, dia tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu yang memalukan kerana baginya, selagi pekerjaan itu halal dan tidak menyusahkan orang lain, ia tidak menjadi masalah.
“Ramai yang mungkin tidak faham tentang kerja freelance. Kadang-kadang orang tanya saya kerja apa sebab nampak macam buat macam-macam.
“Sebenarnya saya buat perkara itu kerana saya suka dan ia memberi fleksibiliti dari segi masa. Shila pun tidak kisah, asalkan saya gembira dan dia gembira,” katanya.
Tambahnya, dia dibesarkan dalam keluarga sederhana yang mengajar dirinya supaya tidak terlalu memikirkan pandangan orang.
“Bagi saya, kalau benda itu halal, tidak buat salah dan tidak kacau orang lain, saya okey sahaja," ungkapnya ringkas.

Tempat Shila bersandar
Sebagai suami, Ubai juga mengakui dia sentiasa cuba menjadi individu yang memberikan kekuatan kepada Shila terutama ketika isterinya berdepan tekanan.
Katanya, perkara paling penting adalah mengingatkan Shila bahawa dia tidak bersendirian.
“Saya selalu cakap, jangan terlalu down. Saya ada, keluarga ada. Orang yang ada dengan awak sekarang adalah orang yang betul-betul menyokong awak.
“Dalam masa sama, Shila juga seorang yang akan fikir baik-baik sebelum buat keputusan. Dia akan minta pandangan saya dahulu dan saya akan bantu mana yang mampu,” katanya.

Bagi pasangan ini, penghijrahan ke China bukan sekadar perubahan lokasi, tetapi satu fasa baharu yang memerlukan kerjasama, perancangan dan sokongan antara satu sama lain.






