SHAH ALAM – Batu karang pun rupa-rupanya tidak terlepas daripada menjadi ‘mangsa’ kerakusan penjenayah hidupan marin.
Berdasarkan kes direkodkan Jabatan Perikanan (DOF), modus operandi penjenayah yang mencuri pelbagai jenis batu karang di perairan negara dikesan beroperasi pada waktu lewat malam atau awal pagi bagi mengelakkan dikesan radar penguat kuasa.
Batu karang yang dicuri itu kemudian dibungkus dalam plastik khas berisi oksigen tinggi dan disembunyikan di dalam tong ikan untuk penghantaran segera.
Jenis batu karang hidup yang kerap menjadi sasaran utama kerana nilai estetikanya yang tinggi di pasaran akuarium eksotik ialah jenis batu karang keras bercabang (Acropora/Staghorn), batu karang otak (Platygyra/Brain Coral), batu karang cendawan (Mushroom Coral) dan spesies Large Polyp Stony (LPS) seperti Euphyllia.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, penjenayah terbabit dikesan menggunakan taktik penyamaran yang licik bagi mengelakkan dikesan oleh bot rondaan DOF dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Menurutnya, kebanyakan penjenayah menyamar sebagai pelancong biasa, kemudian memotong atau mematahkan batu karang menggunakan peralatan khas seperti tukul dan pahat kecil semasa berada di dasar laut.
**media[3549528]**
”Mengenai bentuk jenayah yang direkodkan bagi kes batu karang di perairan negara, ia secara umumnya diklasifikasikan kepada beberapa kategori utama yang melibatkan kegiatan terancang mahu pun kesan kecuaian sivil.
”Bentuk jenayah ini termasuklah aktiviti pencurian dan pengambilan haram dari kawasan perlindungan marin, perdagangan dan penjualan komersial secara terbuka di platform dalam talian serta aktiviti penyeludupan merentasi sempadan negara tanpa permit sah di bawah rangka kerja Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES).
”Di Malaysia, lokasi yang sering menjadi sasaran utama kes kecurian ialah kawasan kepulauan di Pantai Timur Semenanjung seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Tioman.
”Pelancong juga dikesan mengutip batu karang mati sebagai cenderahati,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, selain itu, DOF turut menerima aduan pencerobohan dan kecurian batu karang di Pantai Barat Semenanjung terutamanya di Kawasan Larangan Perikanan Tanjung Tuan, Port Dickson.
Katanya, kawasan ini menjadi sasaran kerana kedudukannya yang hampir dengan pesisir pantai serta mempunyai akses mudah bagi bot-bot kecil.
”Faktor utama lokasi-lokasi ini dieksploitasi adalah kerana kekayaan biodiversiti marinnya yang tinggi.
”Perairan Malaysia sendiri diiktiraf sebagai habitat yang sangat kaya kerana berada dalam zon Segitiga Terumbu Karang (Coral Triangle) dunia, menampung lebih daripada 500 spesies batu karang keras (Hard Corals) dan lembut (Soft Corals) yang merangkumi spesies dominan seperti Acropora, Porites (batu karang masif), Platygyra serta pelbagai jenis karang lembut gorgonian (Sea Fans),” ujarnya.
Kata Adnan, pihaknya memandang serius kes pencerobohan fizikal kritikal berskala besar.
”Antara rujukan kes paling signifikan dalam sejarah penguatkuasaan jabatan ialah insiden pelanggaran terumbu karang oleh kapal baj (barge) komersial yang berlaku pada tahun 2013 di kawasan Tanjung Kasut, Pulau Tioman.
”Kejadian tersebut telah mengakibatkan kemusnahan fizikal khazanah karang yang amat besar dan mengambil masa berpuluh tahun untuk pulih,” tegasnya.
Jelasnya, selain itu, kes kecuaian bot komersial yang melabuhkan sauh secara haram langsung di atas terumbu karang di Pulau Payar serta ancaman pasif turut direkodkan sebagai kesalahan serius di bawah Akta Perikanan 1985.
Berdasarkan statistik DOF, dua kes direkodkan dalam tempoh 11 tahun bermula 2013 hingga 2024 dengan kompaun RM120,000 mengikut Seksyen 43 Akta Perikanan 1985.
“Jumlah kerosakkan yang direkodkan dianggarkan sebanyak 1,200 unit koloni batu karang hidup bersamaan dengan berat kira-kira 450 kilogram. Nilai kompaun RM 120,000 dibawah Seksyen 43 Akta Perikanan 1985,” ujarnya.


