
Umum mengetahui, jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon telah pun menamatkan kontraknya bersama pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin, bagaimanapun menyifatkan tindakan Kim Pan-gon itu tidak profesional.
Hamidin dalam satu sidang media mendedahkan bahawa Pan-gon merayu kepadanya untuk menamatkan kontrak lebih awal atas alasan masalah keluarga melibatkan isterinya, pada ketika dia sebenarnya sudahpun mencapai kesepakatan dengan kelab gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai.
“KPG tak profesional, FAM mangsa”.@ASTROARENA pic.twitter.com/HNcMFgdwHy
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) August 29, 2024
Malah, menurutnya Pan-gon turut memberikan alasan FAM tidak memberikan sokongan yang sepatutnya dan itu menjadi salah satu faktor dia melepaskan jawatannya.
“Saya tahu peminat akan marah kepada FAM apabila perkara ini berlaku tetapi apa yang mengecewakan saya, apabila dia melakukan sidang media, dia memberikan beberapa alasan seperti tidak mendapat sokongan dan pelepasan pemain, yang saya rasa dia mengambil kesempatan itu untuk dia dilepaskan.
Akhirnya, saya mendapat satu panggilan telefon yang mengatakan bahawa dia sebenarnya sudah ada kesepakatan dengan Ulsan Hyundai sebelum dia berjumpa saya.
Jadi itulah kisahnya, di sini dia tidak profesional,” katanya.
Hamidin juga berkata, perkara itu membuatkan FAM menjadi ‘mangsa’ kerana jurulatih itu meninggalkan skuad kebangsaan dengan alasan yang tidak betul.
Dalam pada itu, Hamidin juga berjanji dia akan mencari jurulatih yang lebih baik daripada Kim Pan-gon.
Sumber: Astro AWANI
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

