liza04/11/2026 - 14:47 Model Mercedes-Benz C 300 4MATIC Electric AMG Line Plus itu ditawarkan pada anggaran harga bermula RM360,888 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Nov – Mercedes-Benz Malaysia memperluaskan penawaran kenderaan elektrik (EV) di pasaran tempatan menerusi pengenalan model C-Class elektrik sepenuhnya yang dijadualkan dilancarkan pada awal 2027 susulan peningkatan permintaan terhadap kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV).
Model Mercedes-Benz C 300 4MATIC Electric AMG Line Plus itu ditawarkan pada anggaran harga bermula RM360,888 bagi pasaran Semenanjung Malaysia sebagai pilihan sedan elektrik baharu dalam segmen kenderaan mewah.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedes-Benz Cars Malaysia, Martin Schulz berkata, syarikat melihat perkembangan permintaan yang lebih memberangsangkan bagi BEV di Malaysia dan akan terus memperluaskan pilihan sistem janakuasa mengikut keperluan pelanggan.
Beliau berkata, Mercedes-Benz kekal komited terhadap peralihan kepada elektrifikasi, namun kadar penerimaannya bergantung kepada permintaan pengguna.
"Kami mahu terus menawarkan pilihan sistem janakuasa yang sesuai dengan gaya hidup pelanggan," katanya pada sidang media selepas pratonton model baharu C-Class elektrik hari ini.
Kekalkan pilihan enjin petrol dan elektrik
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengurusan Mercedes-Benz Group AG bagi Jualan dan Pengalaman Pelanggan, Mathias Geisen berkata, kenderaan elektrik dijangka menyumbang sebahagian besar jualan automotif di banyak pasaran dunia dalam beberapa tahun akan datang.
Bagaimanapun, katanya, syarikat akan terus menawarkan pelbagai pilihan kepada pelanggan termasuk kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), hibrid plug-in dan elektrik sepenuhnya bagi memenuhi keperluan pasaran yang berbeza.
Perkembangan itu turut mencerminkan strategi Mercedes-Benz Malaysia untuk memperluaskan penawaran EV tanpa mengetepikan model konvensional.
Pada September lalu, syarikat menyatakan penguasaan pasarannya dalam segmen EV meningkat dua kali ganda tahun ke tahun, walaupun jualannya masih lebih rendah berbanding kenderaan ICE.
Mercedes-Benz Malaysia juga sebelum ini menyasarkan pengenalan 17 model baharu di negara ini pada 2027, merangkumi pelbagai segmen dan jenis sistem janakuasa dengan kilang pengeluarannya di Pekan, Pahang memainkan peranan dalam peluasan pemasangan tempatan.
Bagi kemasukan awal ke pasaran Malaysia, model berkenaan akan ditawarkan sebagai unit import sepenuhnya (CBU), sebelum syarikat mempertimbangkan peralihan kepada pemasangan tempatan (CKD) pada masa hadapan.
Pelancaran C-Class elektrik itu dijangka menambah pilihan kepada pengguna dalam segmen sedan mewah elektrik, ketika Mercedes-Benz terus mengembangkan portfolio EV dan mengekalkan penawaran model dengan enjin konvensional di pasaran tempatan. - DagangNews.com

