Mercury Securities mulakan liputan ke atas HSS Engineers, saran Pegang dengan TP RM0.39

LocalBusiness & Finance
18 Dec 2025 • 3:06 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mercury Securities mulakan liputan ke atas HSS Engineers, saran Pegang dengan TP RM0.39
image is not available
liza18/12/2025 - 15:06 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Dis – Mercury Securities memulakan liputan ke atas HSS Engineers Berhad dengan saranan pegang dan harga sasaran RM0.39 sesaham, mencerminkan potensi terhad dalam jangka pendek berikutan kelembapan kemajuan beberapa projek infrastruktur utama.

 

Firma penyelidikan itu menilai HSS pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 11.7 kali berasaskan unjuran pendapatan sesaham (EPS) tahun kewangan 2026 (FY26E) sebanyak 3.4 sen. 

 

Pada harga semasa sekitar RM0.385, potensi kenaikan saham dilihat terhad.

 

Menurut Mercury Securities, HSS kekal sebagai antara penyedia perkhidmatan kejuruteraan dan pengurusan projek terbesar di Malaysia, dengan segmen tersebut menyumbang lebih 80% daripada hasil kumpulan sejak beberapa tahun lalu. 

 

“Rekod kejayaan bidaan melebihi 50% turut disokong oleh penglibatan dalam projek berskala nasional seperti rangkaian rel dan lebuh raya utama.

 

“Mandat terbesar HSS setakat ini ialah kontrak Perundingan Pengurusan Projek (PMC) bagi projek MRT3 bernilai RM998 juta untuk tempoh 11 tahun, yang diperoleh pada Ogos 2022. 

 

“Bagaimanapun, pengiktirafan hasil daripada projek tersebut masih perlahan, dengan hanya sekitar 6% direkodkan sejak dimulakan, berikutan kelewatan penganugerahan pakej kerja awam utama,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

Mercury Securities berkata dalam jangka terdekat, pendapatan HSS dijangka kekal sederhana berikutan sumbangan yang lebih lemah daripada segmen kejuruteraan dan pengurusan projek, selari dengan kemajuan infrastruktur yang lebih perlahan di peringkat domestik.

 

Dari segi pengembangan antarabangsa, HSS menyasarkan 25% sumbangan hasil daripada projek luar negara menjelang 2027, berbanding kira-kira 15% setakat suku ketiga FY25. 

 

Antara projek utama termasuk usaha sama perundingan Metro Baghdad bernilai AS$315.9 juta yang berjalan sehingga 2029, kontrak reka bentuk dan BIM bagi pembangunan Pelabuhan Tuna Tekra di India serta peranan sebagai perunding am bagi Projek Pemodenan Pengangkutan Awam Davao di Filipina.

 

Firma itu berkata, dalam sektor air, HSS dilihat berada pada kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada agenda Transformasi Sektor Air 2040 (WST2040). 

 

“Kumpulan itu mempunyai rekod kukuh dalam projek bekalan air dan pengairan, termasuk pelantikan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) serta penglibatan dalam projek mitigasi banjir dan pengurangan air tidak berhasil (NRW) di Selangor.

 

“Dari segi kewangan, hasil HSS meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 4.3% bagi tempoh FY20 hingga FY24. Bagi FY25 hingga FY26, hasil domestik dijangka berkembang sederhana sekitar 3% hingga 4%, disokong oleh projek seperti Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A, projek pusat data, KVDT2, ECRL serta kerja naik taraf sistem air,” katanya.

 

Menjelang FY27, prestasi kewangan dijangka bertambah baik dengan sumbangan awal sekitar RM4 juta daripada ladang solar di Perak dan Kedah, selain jangkaan penyambungan semula bil PMC MRT3 apabila pakej kerja utama dianugerahkan. 

 

Margin keuntungan selepas cukai (PAT) pula diunjur kekal stabil sekitar 7.8% hingga 7.9% bagi FY25 hingga FY27.

 

Mercury Securities menegaskan bahawa walaupun asas jangka panjang HSS kekal kukuh disokong oleh buku pesanan belum dibil berjumlah kira-kira RM2.2 bilion, pelabur perlu mengambil kira beberapa risiko utama termasuk kelewatan atau pembatalan projek, cabaran jurutera, pendedahan tinggi kepada projek domestik serta ketidaktentuan dasar susulan perubahan kerajaan.

 

Sehubungan itu, firma tersebut mengekalkan pandangan berhati-hati dengan saranan pegang terhadap saham HSS Engineers. - DagangNews.com

Terkini standard