‘Mereka lahir keluarga berada, kita kais pagi makan pagi’

19 Sep 2026 • 12:13 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Mereka lahir keluarga berada, kita kais pagi makan pagi’

PETALING JAYA – Tidak perlu bersusah payah, pelakon Fatiya Latiff menyifatkan kehidupan individu daripada keluarga berada kelihatan lebih mudah kerana mereka mempunyai sokongan serta kemudahan sejak kecil.

Ujar Fatiya atau nama sebenarnya Nur Fathia Abdul Latiff, 38, golongan berkenaan lazimnya memiliki akses lebih luas terhadap pendidikan, pekerjaan dan jaringan kenalan, berbeza dengan mereka terpaksa membina kehidupan dari bawah.

“Mereka yang dilahirkan dalam keluarga berada memang seronok. Buka mata sahaja sudah ada pembantu, malah urusan belajar pun ditanggung ibu bapa.

“Selepas tamat kolej, kalau tidak habis belajar sekalipun masih ada peluang untuk menyambung pengajian atau mendapatkan pekerjaan kerana mereka mempunyai ‘connection’ luas,” luahnya dalam Threads.

Tambah bintang drama Ariana Rose itu, keadaan berbeza bagi golongan perlu membina kehidupan sendiri kerana setiap peluang perlu dicari tanpa banyak kemudahan tersedia.

“Kita pula terumbang-ambing mencari pekerjaan sambil memikirkan masa depan. Semua perkara perlu difikirkan sendiri.

“Ada masa, hidup sekadar kais pagi makan pagi,” ujarnya.

Luahan Fatiya itu kemudian mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen apabila ada menyifatkan latar kehidupan berbeza tidak semestinya menentukan kekuatan seseorang kerana setiap individu tetap berdepan ujian tersendiri.

“Tidak mengapa. Mereka mungkin tidak melalui kesusahan sama seperti kita, jadi cabaran dalam kehidupan mereka juga mungkin berbeza.

“Alhamdulillah, memang kita nampak mereka gembira dan hidup senang. Tetapi apabila perkara buruk berlaku kepada mereka, sangat sukar untuk menguruskan semuanya sendiri tanpa bantuan pembantu.

“Setiap orang ada ujian masing-masing. Hidup tidak mudah dan tidak berjalan lurus untuk sesiapa pun,” antara komen netizen. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Mereka lahir keluarga berada, kita kais pagi makan pagi’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved