
LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Andoni Iraola mengakui mereka sudah semakin hampir dengan aksi yang diharapkan ketika menang 3-1 ke atas Tottenham Hotspur pada pusingan ketiga Piala Liga Inggeris (EFL) di Anfield awal pagi semalam.
Walaupun Spurs dilihat lebih banyak menguasai permainan, namun The Reds berjaya memastikan kemaraan ke pusingan keempat menerusi jaringan Alexis Mac Allister, Cody Gakpo dan Dominik Szoboszlai.
Iraola berkata, beliau dapat merasakan aura yang cukup positif daripada barisan pemainnya meskipun Spurs memberikan tekanan kepada mereka sebaik sahaja Liverpool menjaringkan gol pembukaan.
“Perlawanan hari ini (semalam) ada beberapa fasa di mana kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Selepas kami mendahului 1-0, perlawanan menjadi semakin sukar apabila mereka mula melakukan asakan.
“Ketika kami melakukan serangan ke arah pintu gol mereka, saya dapat merasakan aura positif daripada semua pemain. Bagi saya, corak permainan seperti itu hampir sama dengan apa yang diharapkan,” katanya.
Walaupun gembira dengan kemenangan itu, namun Iraola memberi amaran kepada anak-anak buahnya supaya terus mengekalkan fokus menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang kelab lamanya, Bournemouth Ahad ini.
“Saya tahu perlawanan itu akan menjadi satu aksi sukar. Bagi saya, Stadium Vitality bukanlah tempat yang mudah untuk dikunjungi kerana kami perlu berada pada tahap terbaik jika mahu mengutip tiga mata,” ujarnya. – AGENSI
The post EFL: Liverpool temui aksi diharapkan appeared first on Kosmo Online.




