Mereka Yang Langgar Peraturan Dan Disiplin Kerajaan Wajar Letak Jawatan - PM 

LocalPolitics
20 Nov 2026 • 11:49 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Mereka Yang Langgar Peraturan Dan Disiplin Kerajaan Wajar Letak Jawatan - PM 

KUALA LUMPUR - Anggota kerajaan yang tidak bersetuju dengan pendirian pentadbiran perlu menyuarakan bantahan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, bukannya menggunakan saluran rasmi untuk mengkritik sesama anggota kerajaan.

Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mana-mana pihak yang melanggar peraturan kerajaan, mengetepikan disiplin serta tidak mematuhi tatakelakuan ditetapkan sewajarnya meletakkan jawatan atau dinasihatkan berundur daripada kedudukan masing-masing.

Menurut beliau, perbezaan pandangan dalam kerajaan gabungan merupakan perkara biasa, namun ia perlu ditangani menerusi saluran yang betul.

“Setiap anggota pentadbiran bertanggungjawab menghormati keputusan bersama kerajaan selain menjaga tertib dan adab ketika menjalankan urusan rasmi,” katanya.

Kenyataan itu menyusul kontroversi membabitkan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan susulan rangkap pantun disampaikan ketika sesi penggulungan kementerian itu di Dewan Rakyat pada 16 November lalu.

Rangkap pantun berkenaan mengundang bantahan berikutan penggunaan ungkapan yang dianggap tidak bersesuaian

Ahmad kemudiannya menarik balik ungkapan berkenaan sebelum mengemukakan surat permohonan maaf secara rasmi kepada Anwar.

Perdana Menteri mengesahkan beliau menerima permohonan maaf tersebut, namun mengingatkan supaya kejadian seumpama itu tidak berulang.

Beliau turut mengiktiraf peranan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam memastikan disiplin serta kerjasama terus terpelihara dalam kalangan anggota Kerajaan Perpaduan.

Anwar berkata, tingkah laku yang dituntut daripada wakil kerajaan berbeza dengan pendekatan ahli politik ketika berkempen dalam pilihan raya, memandangkan tanggungjawab rasmi menuntut mereka lebih berhemah serta mematuhi tatacara yang ditetapkan.

“Perbezaan pendapat dan kritikan terhadap dasar kerajaan tetap dibenarkan, asalkan disuarakan menerusi saluran dalaman yang sewajarnya dan tidak menjejaskan semangat kerjasama dalam pentadbiran,” katanya. - Getaran, 20 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved