
SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim berikrar akan meletakkan jawatan sekiranya beliau atau mana-mana anggota kerajaan negeri melanggar akujanji yang telah dipersetujui bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Beliau berkata, komitmen itu merupakan antara beberapa perkara terkandung dalam akujanji yang dibuat secara sukarela ketika menghadap Tuanku Muhriz hari ini.
Ketika menyampaikan kenyataan menerusi sidang media dalam talian, Ismail menjelaskan bahawa beliau memahami sepenuhnya kandungan serta implikasi akujanji berkenaan dan menandatanganinya tanpa sebarang paksaan, ugutan atau pengaruh mana-mana pihak.
“Sekiranya saya atau mana-mana anggota kerajaan negeri melanggar mana-mana perkara dalam akujanji ini, saya berjanji akan meletakkan jawatan dan mengemukakan peletakan jawatan secara rasmi kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku, bersama-sama anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang lain,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ismail menegaskan tidak pernah mengemukakan atau memberi kebenaran untuk menghantar surat peletakan jawatan bertarikh 16 November kepada Tuanku Muhriz.
Menurutnya, surat berkenaan masih berada dalam simpanan parti, namun beliau tidak pernah bersetuju supaya ia diserahkan kepada pihak istana.
“Surat peletakan jawatan itu memang wujud dan masih disimpan oleh parti, tetapi saya tidak pernah bersetuju supaya surat tersebut dihantar dalam keadaan sedemikian,” katanya.
Jelas Ismail, beliau hanya mengetahui mengenai penyerahan surat berkenaan menerusi media sosial selepas pengumuman mengenainya dibuat pada malam tersebut.
Tambahnya, Tuanku Muhriz juga tidak berkenan dengan cara perkara itu dikendalikan, sambil menegaskan beliau sendiri tidak pernah menyerahkan surat berkenaan kepada baginda.
Ismail turut memaklumkan bahawa Tuanku Muhriz telah memperkenankan beliau untuk terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar bagi memastikan kelangsungan pentadbiran negeri serta menjaga kepentingan rakyat.
Menerusi akujanji tersebut, Ismail turut mempertegaskan kesetiaan beliau kepada Tuanku Muhriz dan institusi diraja Negeri Sembilan, selain mengiktiraf kuasa serta kedudukan baginda seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, termasuk peranan Dewan Keadilan dan Undang.
Beliau juga berjanji tidak akan melaksanakan atau membenarkan sebarang tindakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), jabatan kerajaan, agensi mahupun pegawai awam yang boleh menjejaskan kedaulatan, prerogatif, kuasa, hak atau keistimewaan Tuanku Muhriz.
Antara komitmen lain yang dinyatakan ialah pengiktirafan terhadap keputusan Dewan Keadilan dan Undang yang dibuat pada 31 Julai, 20 Ogos, 13 September, 18 September dan 4 November tahun ini berhubung kepimpinan tradisional di empat Luak di Negeri Sembilan.
Beliau turut berikrar untuk memastikan segala keputusan dewan berkenaan dilaksanakan, termasuk melalui pewartaan sekiranya diperlukan.
Selain itu, kerajaan negeri akan memastikan individu yang diiktiraf sebagai pemegang sah jawatan tradisional diberikan pengiktirafan rasmi kerajaan, termasuk kemudahan kediaman rasmi, saraan, kakitangan serta segala keistimewaan yang berkaitan.
Ismail juga berjanji memastikan kerajaan negeri tidak menyokong atau membantu sebarang usaha untuk mencabar kedudukan Tuanku Muhriz mahupun mengembalikan pengisytiharan yang dikeluarkan pada 19 April lalu, yang telah diisytiharkan tidak sah dan tidak mempunyai sebarang kuat kuasa olehnya.
Beliau berkata, akujanji itu dibuat susulan pengakuannya terhadap beberapa kesilapan terdahulu dalam menerajui pentadbiran kerajaan negeri, selain menyedari tanggungjawab untuk memastikan seluruh anggota kerajaan negeri terus memberikan taat setia kepada Tuanku Muhriz serta menghormati institusi diraja.
Mengulas mengenai perjalanan pentadbiran negeri, Ismail berkata, kemelut yang berlaku ketika ini telah menjejaskan kelancaran urusan kerajaan, khususnya susulan ketiadaan anggota Exco selepas pelantikan mereka dibatalkan.
"Pentadbiran negeri terjejas kerana kita tidak mempunyai barisan Exco dan tiada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dapat diadakan. Banyak keputusan kerajaan tidak dapat dibuat.
“Keutamaan kita adalah memastikan pelantikan Exco dapat dilaksanakan semula. Nama-nama yang dicadangkan perlu mendapat perkenan Tuanku kerana perkara itu merupakan hak prerogatif Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” katanya.
Beliau memaklumkan bahawa senarai nama calon Exco masih belum dikemukakan untuk pertimbangan Tuanku Muhriz, namun usaha ke arah itu akan disegerakan.
Menurutnya, perbincangan berhubung tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) seterusnya hanya akan dilakukan selepas urusan pelantikan Exco diselesaikan.
Mengenai cadangan tarikh persidangan DUN dan pembentangan Belanjawan Negeri, Ismail berkata, tarikh yang dicadangkan sebelum ini masih tertakluk kepada perkenan Tuanku Muhriz dan boleh dipinda sekiranya perlu.
“Kita masih mempunyai masa, namun perkara itu akan dibincangkan kemudian. Persidangan DUN dan Belanjawan Negeri akan dibincangkan dalam masa terdekat selepas pelantikan Exco dimuktamadkan,” katanya. - Getaran, 20 November 2026






